Tiga Lelaki Ditahan Dadah Bernilai Rm15 000 Di Permatang Pa
George
Town, 4 Dis - Polis menahan tiga lelaki dan merampas serbuk dadah jenis
heroin serta syabu seberat 136 gram bernilai RM15,000 dalam serbuan di
sebuah bilik hotel di Permatang Pauh, dekat sini Isnin lepas.
Ketua
Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam serbuan pukul
3 petang itu polis turut menemui sepucuk pistol semi automatik jenama
Smith & Wesson Spring Field MS USA berserta dua butir peluru hidup.
"Kita
telah menghantar senjata api itu untuk ujian balistik bagi mengetahui
sama ada ia pernah digunakan atau tidak sebelum ini," katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Katanya
hasil risikan polis selama sebulan mendapati suspek berusia antara 25
dan 41 tahun itu telah berada di hotel berkenaan selama dua hari dan
motif mereka menginap di situ masih disiasat.
Beliau
berkata suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan Kedah itu dipercayai
terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah selama tiga bulan dan dua
daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah.
Menurut
Abdul Rahim kesemua lelaki terbabit ditahan reman sehingga Isnin depan
untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang
memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Katanya,
kes turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 atas
kesalahan memiliki pistol dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih
berat) 1971 kerana mempunyai peluru hidup.
Dalam
perkembangan lain, Abdul Rahim berkata polis Pulau Pinang bersiap siaga
menghadapi ancaman banjir yang dijangka berlaku di kawasan Seberang
Perai Utara dan Seberang Perai Tengah pada bila-bila masa.
Katanya
seramai 450 anggotanya termasuk pegawai kanan dan ketua balai
ditugaskan untuk menyelia banjir dan sebanyak 80 bot disediakan bagi
kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.
"Kita
nasihatkan penduduk yang terpaksa berpindah tidak bimbang keselamatan
harta benda mereka kerana polis akan mempergiatkan kawalan keselamatan
di kawasan terlibat," katanya.
Sumber : BERNAMA