Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Tiga Lelaki Diberkas Polis Samun Pemborong Kelapa Sawit

Diterbitkan: 04 Jun 2015 10.59 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuantan, 4 Jun- Tiga lelaki ditahan selepas menyamun seorang pemborong kelapa sawit dengan melarikan wang tunai RM22,500 ketika mangsa sedang minum di sebuah kedai di hadapan kilang sawit Felcra, di Jengka dekat Maran, tengah hari semalam.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/tiga-lelaki-diberkas-polis-samun-pemborong-kelapa-sawit
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 03:20 MYT

Kuantan, 4 Jun- Tiga lelaki ditahan selepas menyamun seorang pemborong kelapa sawit dengan melarikan wang tunai RM22,500 ketika mangsa sedang minum di sebuah kedai di hadapan kilang sawit Felcra, di Jengka dekat Maran, tengah hari semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Rosly Hassan berkata, ketiga-tiga suspek yang berumur 19 hingga 33 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan pada jam 2.30 petang dan 5 petang di dalam sebuah ladang kelapa sawit
di Jengka 5.

"Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa, 37 tahun yang sedang minum di sebuah gerai bersama beberapa beberapa pelanggan lain apabila secara tiba-tiba didatangi tiga lelaki bersenjatakan dua laras senapang angin dan sebilah pedang samurai.

Salah seorang suspek bertindak mengacukan senapang kepada mangsa dan memintanya menyerahkan wang tunai yang ada padanya, namun mangsa memaklumkan tidak mempunyai wang.

"Tidak puas hati dengan penjelasan itu, suspek membawa mangsa ke kenderannya dan bertindak merampas sebuah beg berisi wang modal pusingan perniagaan berjumlah RM22,500 sebelum melarikan diri dengan dua buah motosikal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rosly berkata, mangsa bersama rakan-rakannya kemudian bertindak mengejar suspek sehingga ke kawasan ladang sawit Jengka 5 sebelum melihat suspek meninggalkan motosikal dan meloloskan diri ke dalam kawasan ladang berkenaan.

Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum operasi bersepadu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, Polis Bantuan Felda serta pengawal keselamatan Felcra bagi mengesan suspek.

"Suspek pertama berusia 27 tahun ditangkap kira-kira 2.30 petang di satu kawasan dengan jarak tiga kilometer dari tempat kejadian manakala dua lagi suspek berumur 19 dan 33 tahun berjaya ditahan pada pukul 5 petang, lima kilometer dari lokasi kejadian.

"Hasil penahanan itu, polis berjaya merampas wang tunai RM12,068, dua laras senapang angin buatan sendiri, sebilah pedang, dua buah motosikal, 35 biji peluru guli dan 3.98 gram dadah disyaki syabu dan barangan lain di beberapa lokasi berasingan," katanya.

Siasatan awal polis mendapati, suspek sudah mengenal pasti mangsa mereka lebih awal sebelum melakukan kegiatan jenayah itu dan polis kini masih mengesan baki jumlah wang yang disamun berkenaan.

Semua suspek terbabit juga didapati positif dadah dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) ADB.-BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 04 Jun 2015 10.59 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM