
Article
Tiga Elemen Jabatan Kdnka Digabung Dalam Demonstrasi Jaga Ketenteraman Awam
Cheras, 26 Oktober 2022 - Kekuatan lima pegawai bersama 206 anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Tempur Ringan (LSF) dan Unit Tindakan Rusu...
Cheras, 26 Oktober 2022 - Kekuatan lima pegawai bersama 206 anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Tempur Ringan (LSF) dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) digabungkan dalam demonstrasi Latihan Bersepadu Kawad Cegah Rusuhan yang menggunakan situasi proses pengundian ketika pilihanraya di Padang Kawad Kompleks PSP, di sini pagi tadi.
Demonstrasi melibatkan ketiga-tiga elemen di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam PDRM (KDNKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dipertontonkan di hadapan para tetamu semasa sesi lawatan kerja oleh Timbalan Pengarah (Gerakan) KDNKA Bukit Aman, CP Dato' Khaw Kok Chin.
Demonstrasi yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Unit 4 PSP Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Fadhli Daud tersebut melakonkan senario sebenar insiden provokasi atau kekacauan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai persiapan dan persediaan pihak polis dalam menangani, seterusnya menjaga keselamatan awam.
Terdahulu dalam sesi lawatan kerja tadi, Dato’ Khaw telah menyaksikan penyampaian "red beret" oleh Komander PSP, SAC Mohd Said Ibrahim kepada Timbalan Pengarah (Pasukan Gerakan Am) KDNKA Bukit Aman, DCP Dato' Muhammad Abdul Halim.
Seusai demonstrasi di padang kawad, Dato' Khaw telah dibawa melihat pengoperasian bilik gerakan, pameran aset-aset kenderaan dan Unit Berkuda PSP.
Hadir sama, Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, SAC Zulkifli Jonit, Timbalan Komander PSP, ACP Rosman Kasman, barisan Timbalan Komander dan Komandan, Pegawai-pegawai Pemerintah Formasi dan Ketua-ketua Polis Daerah.
Jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid.