Tiada Dokumen Perjalanan 3 Awak Awak Ditahan
Klang, 3 Jun- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 berjaya menahan tiga buah bot dalam operasi berasingan di sekitar perairan laut Kapar di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 1, ACP Mohd Yusof Abdullah berkata, ketiga-tiga buah bot yang ditahan masing-masing kepunyaan rakyat tempatan tetapi menggunakan awak-awak warga asing yang kebanyakannya berasal dari negara jiran.
"Tangkapan pertama dibuat terhadap dua orang awak-awak yang berasal dari Vietnam dan Indonesia kerana gagal menunjukkan pasport ketika pemeriksaan.
"Seterusnya kami (polis) turut menahan empat orang awak-awak yang juga warga asing dari Vietnam dan Indonesia termasuk dua tekong bot rakyat tempatan kerana menggunakan pekerja asing tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," ujar beliau.
Kesemua bot termasuk tahanan dibawa balik ke pangkalan Marin untuk tujuan dokumentasi.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 dan Akta Perikanan 1985.