
Artikel
Terus Berganding Bahu Baiki Kelemahan Dan Kelompongan Untuk Pacu Pdrm Lebih Cemerlang Kpn
Kuala Lumpur, 24 Mei 2024 - Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru untuk terus berganding bahu, menambahbaik kekurangan yang ada dan menguatkan segala bentu...
Kuala Lumpur, 24 Mei 2024 - Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru untuk terus berganding bahu, menambahbaik kekurangan yang ada dan menguatkan segala bentuk kelemahan serta memperbaiki setiap kelompongan untuk terus memacu Pasukan ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi.
“Faktor ini menjadi daya penarik kepada pelaburan asing, perdagangan antarabangsa, perniagaan, perindustrian dan lain-lain elemen pembangunan yang sudah tentunya memberi faedah besar kepada rakyat, dari aspek menyediakan peluang pekerjaan, peningkatan taraf hidup dan kehidupan yang sejahtera,” ucap beliau dalam Perhimpunan Bulanan KPN Bagi Bulan Mei 2024 di Dataran Kompleks 3, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Tambah beliau, ekoran beberapa insiden serangan di balai polis baru-baru ini juga, warga PDRM perlu lebih proaktif dan peka terhadap persekitaran dan mestilah sentiasa bersiap-siaga dengan meningkatkan kawalan keselamatan di lokasi-lokasi tumpuan awam serta berkepentingan.
“Setiap penugasan perlu berteraskan kepada “back to basic” dengan pematuhan prosedur operasi standard dan arahan-arahan semasa yang sedang berkuatkuasa,” ujar beliau.
Perhimpunan bulanan anjuran Cawangan Khas tadi turut diberi penekanan tentang betapa pentingnya maklumat risikan yang dikumpul serta diperoleh oleh jabatan dalam PDRM itu.
Menurut Tan Sri Razarudin, PDRM khususnya Cawangan Khas perlu lebih mempergiatkan gerak kerja operatif menerusi gerak perang saraf secara lebih berkesan yang menangani sebarang bentuk anasir negatif dari dalam dan luar negara.
“Pemantauan terhadap gerak-geri kumpulan pengganas dalam dan luar negara juga individu-individu tertentu telah diwartakan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 juga perlu dijalankan secara holistik.
“Kumpulan-kumpulan ini berevolusi dan bertransformasi mengikut peredaran semasa, namun ideologi mereka tidak pernah lenyap dan kadangkala hanya bertukar penampilan sahaja,” tambah beliau lagi.
Tan Sri Razarudin sempat menitipkan nasihat kepada warga Pasukan untuk terus melakukan sesi dialog, pemantauan kebajikan dan pertemuan bersemuka bersama pihak-pihak yang terlibat dalam ideologi radikal supaya tindak tanduk mereka sentiasa dalam ‘radar’ pihak polis.
Sebagai rekod, sejak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) SOSMA 2012 dikuatkuasakan pada Julai 2012, Cawangan Khas telah berjaya menahan 1,551 individu dengan 964 daripadanya merupakan kesalahan penyeludupan migran dan imigresen.
Manakala sehingga Mei 2024 sahaja, Cawangan Khas telah menjalankan lima operasi dalam negara yang membawa kepada 102 tangkapan melibatkan warga tempatan dan asing atas pelbagai kesalahan di bawah ATIPSOM dan Akta Imigresen.
Dalam majlis tadi juga menyaksikan seramai 29 pegawai polis dan awam dianugerahkan Sijil Penghargaan atas prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan masing-masing.
Yang turut hadir, Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah Cawangan Khas selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dan barisan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Lans Koperal Bryanlie Mustin.