Bukit
Aman, 10 Mei 2011- Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin
telah memberi perkenan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Polis
Negara YDH Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar selama 2 tahun lagi.
Lanjutan tempoh perkhidmatan ini juga telah dibuat selepas mendapat
persetujuan daripada YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
"Bagi
saya tempoh singkat selama 8 bulan memegang jawatan Ketua Polis Negara,
tidak membolehkan YDH Tan Sri Haji Ismail untuk melakukan pelan
pembaharuan dan rancangan strategik yang menyeluruh. Bagaimanapun,
sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menunjukkan komitmen,
kesungguhan dan keprihatinan yang tinggi terhadap bidang tugas dan
tanggungjawab yang diletakkan di atas bahu beliau termasuk
memperkenalkan pelbagai inisiatif dan pendekatan baru seperti konsep 4P
yang terbukti memberi impak positif secara langsung kepada gerak kerja
serta corak pentadbiran warga PDRM secara keseluruhan." jelas YB Dato'
Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dalam sidang
media di sini hari ini.
Beliau
berharap sepanjang tempoh pelanjutan ini ianya mampu memberi ruang dan
peluang yang mencukupi kepada YDH Tan Sri Haji Ismail untuk terus
memberikan khidmat yang terbaik dan berkualiti bukan sahaja untuk
kepentingan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tetapi masyarakat dan Negara
secara keseluruhannya.
Tambah
beliau lagi, dengan penyusunan semula pengurusan dan pentadbiran PDRM
ini, saya berharap pasukan PDRM akan mampu menentukan hala tuju yang
lebih jelas sekaligus berusaha bersungguh-sungguh bagi membantu
menjayakan dasar-dasar penting yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan
termasuk Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah
yang terbukti membawa manfaat yang besar kepada rakyat dan Negara.
"Saya
juga berharap, gandingan mantap Tan Sri Ismail bersama timbalannya,
Dato' Khalid Abu Bakar yang baru dilantik akan membentuk satu pasukan
PDRM yang mampan dan kukuh serta mampu memenuhi aspirasi serta kehendak
masyarakat berbilang kaum di Negara ini," akhiri beliau.
Dari kiri...YDH IGP Tan Sri Hj Ismail bin Hj Omar, YB Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein, YDH DIG Dato' Khalid bin Abu Bakar semasa sidang media.

YB Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein mengucapkan tahniah kepada YDH IGP Tan Sri Hj Ismail bin Hj Omar selepas selesainya sidang media.

Antara wakil-wakil media yang hadir semasa sidang media.
Wartawan : Konst Irfan bin Bujang
Jurufoto : Konst Raymond bin Martin
Penyunting : Insp. Md Aruwan B. Md Amilah