Syarikat Kawalan Keselamatan Perlu Pastikan Pengawal Keselamatan Jalani Pemeriksaan Mental
Petaling Jaya, 18 April - Syarikat kawalan keselamatan perlu memastikan pemeriksaan kesihatan pengawal mereka bukan hanya setakat fizikal tetapi juga turut menitik beratkan pemeriksaan mental dan emosi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata pemeriksaan mental dan emosi amat penting bagi menentukan kemampuan seseorang pengawal keselamatan menjalankan tugas mereka, terutama dalam industri perbankan.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti semula pengambilan pengawal keselamatan bank.
Selain itu, PDRM akan 'saling melengkapi' dengan KDN untuk memastikan pengawal-pengawal keselamatan yang berkhidmat di bank sentiasa berada dalam keadaan mental yang baik dan tidak bertindak di luar jangkaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai tindakan seorang pengawal keselamatan menikam seorang pegawai bank hingga maut, dan mencederakan rakan sekerjanya apabila lelaki itu secara tiba-tiba mengamuk di sebuah bank di Taman Molek, Johor Bahru, semalam.
Noor Rashid berkata masalah emosi perlu diberi perhatian, dan ini merupakan kes kedua yang berlaku di negara ini.
Sebelum ini pada 23 Okt 2013, seorang pegawai bank maut selepas ditembak di bahagian muka oleh pengawal keselamatan bank itu sendiri yang merompak bank berkenaan di Jalan USJ Central 2, Subang Jaya.
Beliau berkata pihaknya memandang serius agar perkara ini tidak berulang lagi dan tindakan perlu diambil.
Suspek telah ditahan di tempat kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengetahui punca suspek bertindak sedemikian, katanya pada majlis program derma darah sempena peringatan Hari Polis yang ke-208 tahun di Subang Parade, Subang Jaya, dekat sini hari ini.
Sementara itu, Noor Rashid berkata pihaknya bercadang untuk menjadikan aktiviti menderma darah sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka dalam usaha mempertingkatkan hasil prestasi kerja.
Beliau berkata perkara itu bagaimanapun akan dikaji terlebih dahulu sebelum ia menjadi salah satu KPI .
"Ini saya nak letakkan sebagai KPI mereka dan perkara itu perlu dikaji dulu kerana hendak melihat berapa peratus serta jumlah sumbangan derma darah anggota dan pegawai polis meningkat dari tahun ke tahun.
"PDRM menyasarkan peningkatan 10 peratus pada tahun depan penglibatan pihaknya dalam menderma darah," katanya.
Beliau berkata penglibatan setiap kontinjen dan daerah PDRM yang menderma darah di seluruh negara amat membanggakan.
"Hari ini sahaja yang menderma darah melibatkan 300 pelatih PDRM yang terdiri daripada pegawai dan anggota," katanya.- BERNAMA