Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Syabu Dan Ramuan Bernilai Rm4 6 Juta Dirampas Di Ampang

Diterbitkan: 16 Jun 2014 7.12 AM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.46 AM
Polis Selangor merampas 23 kilogram syabu serta 40 kg minyak meth yang digunakan untuk menghasilkan dadah itu bernilai RM4.6 juta selepas memberkas dua lelaki tempatan di Taman Ampang Utama..
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/syabu-dan-ramuan-bernilai-rm4-6-juta-dirampas-di-ampang
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 04:17 MYT
KUALA LUMPUR, 10 Jun 2011 (Bernama) -- Polis Selangor merampas 23 kilogram syabu serta 40 kg minyak meth yang digunakan untuk menghasilkan dadah itu bernilai RM4.6 juta selepas memberkas dua lelaki tempatan di Taman Ampang Utama di sini Khamis.

Penahanan kedua-dua lelaki berumur 26 dan 29 tahun itu dilakukan setelah polis mendapat panggilan daripada orang awam yang melihat mereka dalam keadaan mencurigakan di satu kawasan kondominium di situ.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata bahawa setelah ditahan pada 1.40 petang, kedua-dua lelaki itu membawa polis ke sebuah unit di tingkat 15 kondominium itu yang dipercayai dijadikan makmal memproses syabu.

Selain syabu yang dibungkus dalam plastik, polis juga menemui peralatan serta bahan untuk menghasilkan syabu termasuk minyak meth dan minyak thinner, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini.

Turut dirampas ialah sebuah kereta.

Tun Hisan berkata jika kesemua syabu itu dipaket semula ke dalam tiub-tiub kecil ianya boleh menghasilkan 77,680 tiub bernilai RM60 setiap satu.

"Kalau satu orang ambil satu tiub, maka seramai 77,680 penagih akan gunakan dadah ini. Ini satu perkara yang berat bagi masyarakat di Malaysia," katanya.

Siasatan awal mendapati suspek berumur 29 tahun itu seorang peniaga gerai minuman dan berasal dari Jalan Genting Klang manakala suspek yang berumur 26 tahun berasal dari Seri Kembangan dan bekerja sebagai pembantu kedai dobi.

Ketika ditahan, dia didapati positif dadah, kata tun Hisan.

Beliau berkata kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu samun dan curi kenderaan.

Tun Hisan berkata polis masih menyiasat untuk mengetahui sejak bila kedua-dua lelaki itu telah menjalankan kerja memproses syabu di situ.

"Kedua-dua mereka bukan menetap di situ dan semasa serbuan, rumah tersebut tidak berpenghuni," katanya.

Tun Hisan berkata polis sedang masih menyiasat untuk memastikan di mana dadah itu dipasarkan.

"Di banyak tempat kita buat operasi...di pusat-pusat hiburan, banyak pengunjung ditangkap menggunakan syabu. Begitu juga dengan kes-kes tangkapan penyamun, pecah rumah dan peragut kebanyakan mereka positif syabu," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika disabitkan kesalahan membawa hukuman gantung sampai mati.

Tun Hisan juga mengingatkan orang ramai jika mengesyaki atau melihat rumah yang dalam keadaan mencurigakan agar segera menyalurkan maklumat kepada polis.

"Apabila orang memproses dadah syabu, ia akan mengeluarkan satu bau yang busuk yang kalau dihidu boleh menyebabkan sakit tekak. Jadi kalau ada perkara begini berlaku di sebelah rumah, keadaan ini sepatutnya disampaikan kepada polis," katanya.
ArtikelDiterbitkan 16 Jun 2014 7.12 AMDikemas kini 17 Jul 2026 11.46 AM