Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Suami Isteri Antara Ditahan Terlibat Dadah Di Kota Tinggi

Diterbitkan: 09 Nov 2015 3.59 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Lima orang termasuk sepasang suami isteri bersama seorang anak lelaki mereka berusia lapan tahun ditahan dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Habab, di sini, Sabtu lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/suami-isteri-antara-ditahan-terlibat-dadah-di-kota-tinggi
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 25/09/2026 07:46 MYT

Kota Tinggi, 9 Nov - Lima orang termasuk sepasang suami isteri bersama seorang anak lelaki mereka berusia lapan tahun ditahan dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Habab, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata serbuan pada pukul 6.20 petang itu turut merampas empat paket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 858 gram, dua paket plastik dadah jenis syabu seberat 1.92 gram dan satu alat penimbang digital dipercayai untuk menimbang dadah.

"Polis turut merampas 10 telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba, wang tunai RM449 serta menyita tiga kereta jenis Nissan Sentra, Toyota Innova dan Proton Waja," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Rahmat berkata tiga suspek itu termasuk seorang wanita berusia antara 33 dan 39 itu mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah, manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 21 tahun tidak mempunyai sebarang rekod.

Kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun dibebaskan oleh mahkamah dan diserahkan kepada waris mereka di Pontian.

"Kesemua empat suspek itu juga didapati positif ujian dadah heroin dan syabu serta ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan," katanya.

Rahmat berkata rampasan dadah yang hampir satu kilogram itu bernilai RM30,318 dan mampu dibekalkan kepada hampir 500 penagih dadah tempatan sekitar bandar itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori. - BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 09 Nov 2015 3.59 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM