Sindiket Tipu Rm1 3 Juta Tumpas
KUCHING:
Seramai 17 individu terdiri daripada sembilan warga Nigeria dan lapan
wanita tempatan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan
‘Romance Scam’ melibatkan kerugian mencecah RM1.3 juta.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintenden Mohd
Firdaus Abdullah berkata, kesemua suspek berusia antara 21 dan 54 tahun
itu ditahan atas dakwaan menipu seorang wanita sejak awal tahun ini.
Beliau
berkata, mangsa, 34, yang juga merupakan ahli perniagaan terdahulu
berkenalan dengan seorang lelaki warga asing melalui sebuah laman
sosial, namun diperdayakan dengan janji-janji manis termasuk pulangan
perniagaan bernilai jutaan ringgit.
"Namun,
perkara tersebut telah disedari oleh mangsa yang kemudian membuat
laporan polis berhubung kejadian, itu pun setelah dia memasukkan wang
sebanyak RM1.3 juta ke dalam beberapa akaun selepas diarahkan oleh
suspek.
"Berikutan
laporan itu, dua wanita tempatan telah ditahan pada 25 April lepas yang
kemudian membawa kepada penahanan sembilan individu warga Nigeria di
Kuala Lumpur dengan bantuan daripada JSJK Bukit Aman,” katanya pada
sidang media di Ibu Pajabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini,
semalam.
Firdaus
berkata, polis yang menyiasat lanjut kes itu berjaya menahan enam lagi
wanita tempatan termasuk seorang penebar roti canai, manakala lima lagi
suspek masih dijejaki.
Menurutnya
lagi, polis turut merampas beberapa telefon bimbit, komputer, kad bank
dan beberapa dokumen berkaitan daripada suspek.
Bercakap
mengenai kes itu, Firdaus memberitahu, mangsa terdahulu akan dipikat
dengan janji-janji manis sehingga mangsa benar-benar percaya kepada
setiap perkara yang diberitahu oleh suspek.
"Selepas
beberapa bulan berkenalan, suspek seterusnya akan mula mempengaruhi
mangsa dengan menawarkan pelbagai perkara termasuk pulangan perniagaan
yang mencecah nilai jutaan ringgit.
"Sehingga
satu tahap, suspek meminta mangsa untuk memasukkan sejumlah wang ke
dalam beberapa akaun sebagai pelaburan atau sebagainya dan perkara
tersebut berlarutan sehingga disedari oleh mangsa," katanya.
Firdaus
memberitahu, kes tersebut dipercayai didalangi oleh individu warga
Nigeria yang akan menggunakan akaun wanita-wanita tempatan untuk proses
pemindahan wang, sekali gus menjadi 'Keldai Akaun'.
"Mereka
(wanita tempatan) adalah 'Keldai Akaun' dan boleh dituduh bersubahat
kerana membenarkan suspek menggunakan akaun mereka bagi proses
pemindahan wang tersebut walaupun mungkin mereka tidak mengetahui
perkara itu," jelasnya.
Kesemua
yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabit
kesalahan.
Sumber : Utusan Borneo