Wartawan /Jurufoto : KPL Mohd Shareel Bin Shariman
Kuala Lumpur, 12 April - "Sebelum membuat apa-apa perbankan, pengguna haruslah membuat pengesahan lanjut bagi mengesahkan individu yang mereka berurusan," kata YDH Dato' Mohd Rodwan Bin Mohd Yusof, Timbalan Pengarah II JSJK dalam satu sidang media bertempat di Kompleks Kerajaan, Bukit Perdana, Jalan Dato’ Onn Kuala Lumpur.
Satu sindiket penipuan internet (phishing) telah ditumpaskan melalui satu serbuan yang telah dibuat pada 10 April 2012 di dua lokasi berasingan iaitu Taman Putera Perdana dan Bandar Bukit Puchong, Selangor.
Serbuan dilakukan berdasarkan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pengadu yang merupakan seorang pelajar tempatan. Beliau pada mulanya menerima emel dari pihak bank untuk mengemaskini profil akaun milik pengadu. Setelah selesai mengisi borang kemaskini tersebut, pengadu menerima satu mesej pengesahan daripada pihak bank untuk menambah akaun bagi pihak ketiga.
Pengadu mengesyaki ditipu apabila menerima panggilan dari pihak bank bahawa terdapat satu transaksi pemindahan wang milik beliau kepada seorang individu.
Dalam serbuan tersebut, seramai lima orang lelaki warga Afrika berumur 25-35 tahun yang merupakan pelajar kolej swasta telah ditahan dan dua daripada mereka telah melebihi tempoh dibenarkan menetap di Malaysia sejak 2012.
Seorang wanita yang merupakan pemilik akaun ketiga tersebut turut ditahan ketika mengeluarkan wang di Petaling Jaya.
Beberapa peralatan turut dirampas seperti enam unit komputer riba, sepuluh unit telefon bimbit, tiga passport, seunit modem dan beberapa peralatan lain. Kesemua peralatan ini akan dihantar ke forensik untuk dianalisa.
Kes disiasat di bawah seksyen 4 Akta Jenayah Komputer (AJK) dan hasil siasatan awal mendapati, suspek melakukan pelbagai penipuan internet. Kesemua suspek akan ditahan reman bagi siasatan lanjut.

YDH Dato' Mohd Rodwan Bin Mohd Yusof ketika sidang media.

Antara peralatan yang dirampas.

Antara peralatan yang dirampas.

YDH Dato' Mohd Rodwan Bin Mohd Yusof bersama peralatan yang dirampas.