Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Sindiket Palsukan Permit Kerja Tumpas

Published: 17 Jun 2014 3.50 AM Updated: 17 Jul 2026 11.47 AM
Kuala Lumpur, 22 Mei - Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan permit kerja warga asing dengan penahanan 62 orang termasuk 37 rakyat asing dalam operasi di dua premis di Pandan Perdana dan Gombak Sa..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/sindiket-palsukan-permit-kerja-tumpas
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 10:46 MYT
Kuala Lumpur, 22 Mei - Polis menumpaskan satu sindiket pemalsuan permit kerja warga asing dengan penahanan 62 orang termasuk 37 rakyat asing dalam operasi di dua premis di Pandan Perdana dan Gombak Sabtu lepas dan semalam. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata kegiatan sindiket berkenaan terbongkar apabila enam mangsa terdiri daripada majikan dan ejen pekerja asing membuat laporan polis berhubung penipuan itu yang dianggar melibatkan kerugian RM175,249. 

"Mereka memperdayakan majikan dan ejen pekerja asing dengan menawarkan permit pekerjaan di negara ini dengan mengenakan bayaran RM1,500 hingga RM5,000 setiap seorang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, hari ini. 

Bagi menyakinkan mangsa, sindiket itu akan mengeluarkan surat atau rekod pengenalan diri rakyat asing yang dikenali sebagai RECOF (Registration Endorsement Certification Of Foreigner), yang sebenarnya tidak diiktiraf Kementerian Dalam Negeri. 

Amiruddin berkata ketika serbuan dibuat di sebuah premis rumah kedai di Pandan Perdana Sabtu lepas, 60 anggota sindiket; 23 warga tempatan dan 37 rakyat asing didapati sedang mencetak permit palsu itu. 

Polis turut menahan dua lagi rakyat tempatan yang juga sedang mencetak rekod palsu berkenaan di sebuah premis rumah kedai di Gombak semalam. 

Siasatan polis mendapati kedua-dua premis yang dijadikan pusat operasi sindiket itu tidak diberi sebarang kuasa oleh Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskan pendaftaran dan permit warga asing, katanya. 

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah komputer riba (16), komputer peribadi (13), mesin pencetak (tiga), iPad (satu), kamera (dua), mesin pengimbas cap jari (satu), mesin pengimbas kertas (tiga), buku resit pembayaran (15) dan pelbagai dokumen lain. 

Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif di kawasan Lembah Klang sejak setahun lepas. 

"Kami percaya ramai lagi yang telah menjadi mangsa tetapi sehingga kini hanya enam yang membuat laporan polis," katanya. 

Kesemua suspek yang berumur antara 20 dan 40 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen pekerjaan. - BERNAMA
ArticlePublished 17 Jun 2014 3.50 AMUpdated 17 Jul 2026 11.47 AM