Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Sindiket Macau Scam Menyamar Pegawai Polis Ipk P Pinang

Published: 14 Mar 2017 12.33 PM Updated: 17 Jul 2026 11.48 AM
Satu sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai bank dikesan cuba memperdaya orang ramai menggunakan modus operandi mirip 'Macau Scam' di negeri ini.
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/sindiket-macau-scam-menyamar-pegawai-polis-ipk-p-pinang
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 14:43 MYT

George Town, 14 Mac 2017 - Satu sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai bank dikesan cuba memperdaya orang ramai menggunakan modus operandi mirip 'Macau Scam' di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang ACP Abdul Ghani Ahmad berkata polis menerima puluhan panggilan telefon daripada orang ramai sejak minggu lepas untuk membuat pengesahan sama ada terdapat pegawai polis yang
menjalankan siasatan berhubung akaun bank mereka.

"Mereka mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa pegawai polis dari IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Pulau Pinang dan memberitahu nama serta nombor telefon mereka telah diguna untuk membuka akaun di beberapa bank di Malaysia.

"Mangsa juga menerima panggilan telefon daripada beberapa bank memaklumkan ada akaun bank atas nama dan nombor kad pengenalan mereka dibuka dan beberapa transaksi pindahan wang telah dilakukan menerusi akaun itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pemanggil turut mendakwa akaun mangsa disyaki terlibat dalam kes jenayah, dadah dan pengubahan wang haram sedangkan mereka tiada akaun di bank yang dinyatakan.

Abdul Ghani berkata suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan wang yang terdapat dalam akaun mereka ke akaun lain bagi memastikan duit itu tidak dibekukan.

Beliau berkata setakat ini tiada mangsa yang mengalami kerugian dan orang ramai yang pernah menerima panggilan telefon seperti itu diminta membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Orang ramai juga diminta tidak mengikut arahan individu yang meminta mereka membuat pindahan wang ke akaun lain secara dalam talian, katanya.- BERNAMA

ArticlePublished 14 Mar 2017 12.33 PMUpdated 17 Jul 2026 11.48 AM