Sindiket Judi Pertaruhan Rm2 4j Diserbu
NIBONG TEBAL 30 Ogos - Taktik satu sindiket perjudian empat nombor ekor haram berselindung di sebalik papan tanda syarikat pembekal udang sejak dua tahun lalu akhirnya terbongkar apabila premis mereka diserbu polis semalam.
Serbuan hasil maklumat awam itu dilakukan di Taman Tambun dekat Simpang Ampat di sini, pada pukul 6.50 petang.
Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad berkata, kejayaan itu adalah yang terbesar pihaknya untuk kawasan utara bagi tahun ini dengan nilai pertaruhan mencecah kira-kira RM2.4 juta sebulan.
Katanya, dua wanita berusia 26 dan 33 tahun yang dipercayai pekerja ditahan ketika sedang sibuk menerima pertaruhan melalui mesin faks dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Polis Bukit Aman dengan kerjasama anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) melakukan intipan selama dua minggu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Katanya, polis turut merampas empat komputer, dua mesin faks, dua mesin pencetak, tiga modem USB jalur lebar, empat telefon bimbit serta beberapa peralatan lain daripada sindiket terbabit.
Jelas Maszely, polis percaya sindiket berkenaan menerima pertaruhan dari beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Johor melalui ejen-ejen mereka.
"Kita akan menyiasat bagi mengenal pasti pemilik premis dan individu-individu lain serta ejen-ejen yang terlibat dalam sindiket pertaruhan itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan boleh didenda sebanyak RM200,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.