Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Maklumat Rasmi Untuk Orang Awam
Artikel
Artikel

Sindiket Edar Pil Kuda Terbesar Di Lembah Klang Tumpas Dadah Rm4 62 Juta Dirampas

Diterbitkan: 20 Jan 2016 3.44 PM Dikemas kini: 17 Jul 2026 11.47 AM
Shah Alam, 20 Jan - Polis Selangor menahan lima lelaki termasuk dalang sindiket pengedaran pil kuda terbesar di Lembah Klang serta merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM4.62 juta di Ampang dan Kuala Lumpur, Isnin lepas.
Rujukan dalam talian
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/sindiket-edar-pil-kuda-terbesar-di-lembah-klang-tumpas-dadah-rm4-62-juta-dirampas
Imbas untuk melihat versi langsung yang terkini.
Polis Diraja Malaysia
Maklumat rasmi daripada portal RMP2U.
Dicetak pada: 24/09/2026 19:00 MYT


Shah Alam, 20 Jan - Polis Selangor menahan lima lelaki termasuk dalang sindiket pengedaran pil kuda terbesar di Lembah Klang serta merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM4.62 juta di Ampang dan Kuala Lumpur, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Amran Ramli berkata kesemua suspek berumur antara 34 dan 53 tahun ditahan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza di tepi Jalan Ampang berhadapan sebuah pusat membeli belah di Ampang Jaya, kira-kira 2.30 petang.

"Hasil pemeriksaan pihak kami merampas sebuah beg plastik warna hijau di tempat letak kaki tempat duduk penumpang hadapan kereta tersebut yang mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah syabu seberat 3.03 kg.

"Pihak kami kemudian dipandu arah oleh seorang daripada suspek ke Kondominium Vista Damai, Kuala Lumpur dan di sana polis menjumpai sejumlah 110,950 biji pil kuda seberat 12.65 kg, sejumlah 52,900 biji pil ecstacy seberat 16.19 kg, dadah ketamin seberat 0.72 kg dan syabu seberat 0.05 kg. Nilai keseluruhan dadah dirampas termasuk dalam kereta Alza ialah RM4.62 juta," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Amran, turut dirampas ialah sebuah Toyota Vellfire V6 dan sebuah Toyota Vios serta wang tunai berjumlah RM11,080.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu telah bergerak aktif kira-kira enam bulan dan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Suspek juga dipercayai memperoleh bekalan dadah dari sebuah negeri di sebelah utara dan kita percaya sindiket itu mempunyai rangkaian di negeri lain.

"Pihak kami juga masih memburu anggota-anggota lain sindiket terbabit," katanya.

Amran berkata, semakan mendapati seorang suspek mempunyai 11 rekod kesalahan lampau bagi kesalahan curi dan pernah menjalani tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya, Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) sementara seorang lagi mempunyai empat rekod jenayah lampau bagi kes dadah dan juga pernah menjalani tahanan di bawah LLPK.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman selama seminggu sehingga 25 Jan ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

ArtikelDiterbitkan 20 Jan 2016 3.44 PMDikemas kini 17 Jul 2026 11.47 AM