Official Portal of the Government of Malaysia
Royal Malaysia Police
Official Public Information
Article
Article

Sindiket Edar Heroin Tumpas

Published: 16 Jun 2014 2.43 AM Updated: 17 Jul 2026 11.46 AM
KUALA TERENGGANU 18 Okt. - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah terbesar dalam tempoh lima tahun di negeri ini selepas menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih bersama 1,039..
Online reference
https://rmp2u.rmp.gov.my/content/sindiket-edar-heroin-tumpas
Scan to view the latest live version.
Royal Malaysia Police
Official information from the RMP2U portal.
Printed on: 25/09/2026 02:09 MYT

KUALA TERENGGANU 18 Okt. - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah terbesar dalam tempoh lima tahun di negeri ini selepas menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih bersama 1,039 gram heroin bernilai RM418,640, baru-baru ini.

Kejayaan itu hasil serbuan polis di sebuah rumah di Taman Padang Midin di sini pada pukul 11.30 malam Jumaat lalu.

Dalam serbuan itu, polis menemui pelbagai jenis peralatan yang digunakan untuk kegiatan jenayah termasuk pistol, parang, rambut palsu, vest polis dan gari.

Kesemua barang-barang itu disembunyikan di tiga lokasi berasingan termasuk di sebuah pusat asuhan kanak-kanak terencat akal dekat sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, suspek utama kes tersebut ialah seorang lelaki berusia 39 tahun yang pernah ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) pada 2006.

Katanya, dua lagi yang ditahan ialah seorang wanita, 32, yang bekerja sebagai pekerja am di pusat asuhan kanak-kanak terencat akal tersebut dan seorang penganggur lelaki, 27, yang dikenakan perintah sekatan jenayah (PCO).

Beliau berkata, wanita tersebut yang berasal dari Kulim, Kedah dipercayai kekasih kepada suspek utama.

"Kita berjaya menahan suspek utama di hadapan rumahnya sebelum menahan dua lagi suspek yang berada di ruang tamu rumah tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut memeriksa sebuah kereta jenis Proton Wira dan menemui 287 botol heroin, 32 gram ganja, sepucuk pistol semi auto jenis Walther dan lapan biji peluru hidup jenis Caliber 0.22 mm.

"Polis turut menemui set rambut palsu dan satu tali pinggang yang mempunyai logo polis serta sepucuk pistol tiruan yang disimpan di dalam kereta tersebut," ujarnya.

Mohd. Shukri menambah, pemeriksaan ke pusat asuhan kanak-kanak tempat suspek wanita itu bekerja membolehkan polis menemui 21 biji peluru hidup jenis Caliber 9 mm dan dua bilah parang.

"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM5,602 dalam serbuan tersebut. Berdasarkan penemuan barang-barang tersebut, kita percaya suspek menjalankan satu sindiket pengedaran dadah terancang dengan menggunakan modus operandi menyamar sebagai anggota polis untuk mengaburi mata pihak berkuasa," tambahnya.

Beliau memberitahu, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan merupakan sindiket terbesar pengedaran dadah jenis heroin di negeri ini sejak lima tahun lalu.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 termasuk Seksyen 39 A, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 akta yang sama dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Berat 1971.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan reman selama seminggu sehingga Jumaat ini.

ArticlePublished 16 Jun 2014 2.43 AMUpdated 17 Jul 2026 11.46 AM