Sindiket Edar Dadah Di Kuil Tumpas
SHAH
ALAM 13 Ogos - Polis menumpaskan satu sindiket dadah yang menjadikan
kuil sebagai lokasi pengedaran selepas menahan enam ahli kumpulan itu
dalam serbuan di Gombak kelmarin.
Serbuan
yang dibuat di kuil dan sebuah pangsapuri itu menemui sejumlah 12.74
kilogram dadah jenis heroin dan ketamin yang dianggarkan bernilai
kira-kira RM500,000.
Ketua
Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, empat daripada
suspek ditahan di tempat letak kereta Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves
kira-kira pukul 1.30 petang.
Menurut
beliau, pemeriksaan polis di sebuah kereta yang dinaiki suspek berjaya
menemui satu beg plastik hitam mengandungi ketulan dadah dipercayai
heroin seberat kira-kira 3.63 kilogram.
"Hasil
soal siasat menerusi tangkapan itu membawa polis ke sebuah pangsapuri
di Gombak dan di sana, polis menahan dua lagi lelaki dipercayai ahli
sindiket pengedaran dadah tersebut.
"Polis
turut menemui dua peket plastik berisi ketulan dadah heroin seberat 348
gram, 13 peket plastik besar berisi 8.76 kilogram ketamin selain
beberapa botol mengandungi bahan memproses dadah di pangsapuri
berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Turut
hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan; Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah
dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner
Nordin Kadir.
Tun
Hisan berkata, polis mendapati sindiket itu menjadikan kuil sebagai
tempat mereka mengedar dadah kerana mungkin beranggapan lokasi tersebut
selamat.
Tambahnya,
kesemua suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 36 tahun dan hasil
ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka positif mengambil
dadah. Tun Hisan berkata, kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen
39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika
sabit kesalahan.