Sindiket Edar Dadah Dalam Peket Kopi Segera
Sindiket pengedaran dadah menggunakan taktik baru dengan membungkus semula bahan terlarang itu dalam peket minuman kopi segera berjaya dilumpuhkan polis menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Sungai Maong, Kuching, Sarawak.
Bertindak hasil maklumat orang awam, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak membuat serbuan di rumah berkenaan pada pukul 4petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintenden Lukas Aket berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya menemukan serbuk ekstasi yang dibungkus semula dalam peket kopi minuman segera seberat 1.59 kilogram, serbuk ekstasi 37 gram, pil ekstasi 12.75 gram, pil eramin 515.14 gram, ketamin 1.88 gram dan ketulan syabu 21.34 gram dengan nilai keseluruhan kira-kira RM18,000.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dan seorang wanita warga Indonesia berusia 33 tahun.
Sumber : Utusan Malaysia