Sindiket Dadah Batu Pahat Tumpas Babit Rampasan Rm33 Juta
Batu
Pahat, 17 Julai - Polis menumpaskan satu sindiket dadah dengan
penangkapan enam suspek termasuk ketuanya di sini semalam, selain
merampas dadah bernilai RM31 juta.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid
Ibrahim berkata dalam operasi JSJN Bukit Aman dan polis Johor itu juga
mereka merampas dua senjata api serta 217 butir peluru.
Operasi
bermula dengan penangkapan suspek berusia antara 24 dan 52 tahun itu
termasuk dua wanita, seorang daripadanya warga China, di sekitar bandar
ini lewat malam semalam.
Daripada
penangkapan itu polis membongkar sebuah makmal dadah yang berselindung
di sebalik kedai ikan hiasan di Taman Flora Height dan dua setor
penyimpanan dadah, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya selain dadah pelbagai jenis, polis juga merampas tujuh kenderaan serta wang tunai berjumlah RM1.84 juta.
Ketua
sindiket ini dipercayai suspek yang lolos ketika operasi pada 9 Sept
tahun lepas di Muar, yang menyaksikan polis memberkas tujuh anggota
kumpulannya, katanya.
"Selepas terlepas, ketua sindiket itu kembali aktif dengan mengubah lokasi makmal baharu ke Batu Pahat," katanya.
Menurut Noor Rashid, polis percaya dadah terbabit adalah untuk pasaran tempatan dan negara jiran.
Semua suspek ditahan reman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber : BERNAMA