Sindiket Curi Kereta Rm 1 Juta Tumpas
JOHOR BAHRU 6 Mei - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta selepas menahan enam lelaki termasuk tiga warga asing dalam dua serbuan berasingan di Ulu Tiram di sini, akhir bulan lalu dan semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kejayaan pertama diperoleh pada 28 April lalu, selepas polis menahan lima lelaki di sebuah bengkel kereta di Batu 13, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram.
Katanya, dalam serbuan itu, polis turut menemui lapan buah kenderaan curi pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.
"Kesemua yang ditahan ialah pemilik bengkel itu, berusia 38 tahun dan empat pekerjanya iaitu seorang lelaki tempatan dan tiga rakyat asing.
"Kesemua mereka berusia antara 30 dan 50 tahun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, selain itu, polis turut menemui beberapa komponen sebuah kereta Proton Gen 2 di dalam stor bengkel tersebut, yang dilaporkan hilang di Taman Johor Jaya, di sini.
Katanya, seminggu selepas itu, polis memberkas seorang lagi lelaki berusia 35 tahun, dipercayai turut terlibat dalam sindiket tersebut kira-kira pukul 6 petang.
"Kesemua enam lelaki yang ditahan itu tidak memiliki rekod jenayah lampau dan mereka kini direman untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun serta di bawah Seksyen 29 (1) yang boleh didenda tidak lebih RM1,000," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd. Mokhtar berkata, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan kerana menyamar sebagai anggota penguat kuasa di Jalan Susur 3, Larkin, di sini awal pagi semalam.
Katanya, suspek ditahan oleh anggota polis dari Balai Polis Larkin pada pukul 3.30 pagi, ketika sedang menunggang sebuah motosikal.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah pisau Rambo di pinggang lelaki itu, pisau lipat, pedang buatan sendiri dan sepucuk pistol tiruan.
"Turut ditemui beret yang mempunyai logo Kastam Diraja Malaysia dan beret Polis Diraja Malaysia," katanya.