Seorang Lelaki Ditahan Lima Kes Curi Kabel Tm Di Besut Sele
Besut,
18 Feb- Polis percaya dapat menyelesaikan lima kes curi kabel Telekom
Malaysia (TM) di sekitar daerah Besut apabila menahan seorang lelaki di
Alor Lintah, di sini, Jumaat lepas.
Lelaki
berusia 45 tahun itu ditahan pada pukul 8 malam ketika sedang memotong
kabel TM berhampiran Masjid Alor Lintah, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor.
Polis
turut merampas 50 meter kabel yang telah dikerat dipercayai untuk
dijual, tiga batang besi paip panjang yang mempunyai sabit di hujungnya,
pemotong dawai, sebilah parang, pisau, lampu suluh, sarung tangan dan
tiga gelung kabel TM serta sebuah motosikal.
"Lelaki
yang berasal dari Seberang Jerteh itu mempunyai rekod jenayah lampau
membabitkan kes narkotik dan dia adalah penagih dadah," katanya pada
sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam
kes berasingan, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam
serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Payong, Hulu Besut awal pagi
ini dan merampas 180 biji pil methamphetamine bernilai RM3,600. Beliau
berkata wanita berusia 22 tahun yang berasal dari Bachok, Kelantan itu
dikatakan teman wanita seorang daripada lelaki terbabit. -BERNAMA