Sembunyi Dadah Dalam Coli
KUALA
TERENGGANU, 20 Jun 2010 -- Dua wanita yang berstatus janda
menyembunyikan 20 botol dadah di dalam coli ketika polis membuat serbuan
di di hadapan tandas awam stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu
(MBKT) di sini.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK)
Terengganu, Supt Roslan Abdul Wahid berkata dadah seberat 83 gram
bernilai RM28,000 itu dijumpai pada salah seorang daripada wanita itu
pada serbuan Khamis lepas kira-kira pukul 6 pagi.
"Kita
percaya wanita itu yang juga pengedar dadah berada di situ untuk
menunggu pembeli," katanya dalam sidang media di pejabat narkotik IPK di
sini pada Ahad.
Beliau
berkata seorang daripada wanita itu berumur 43 tahun mempunyai empat
orang anak dan cucu, beralamat di Rantau Panjang, Kelantan manakala
seorang lagi berumur 30 tahun beranak satu dari Kuala Lumpur.
Roslan berkata wang tunai RM106 dan matawang bath Thailand sebanyak 1,410 bath turut dirampas daripada wanita-wanita itu.
Beliau
berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua wanita yang merupakan rakan
baik itu juga menagih dadah jenis pil WY. Mereka direman oleh Mahkamah
Majistret Terengganu sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.
Kedua-dua wanita itu ditahan dalam serbuan tersebut hasil daripada maklumat orang awam.
Sementara
itu, dalam kes berasingan, pukul 10.15 malam semalam, polis cawangan
anti-narkotik menahan seorang remaja dan merampas 166 biji dadah pil WY
bernilai RM5,000 setelah membuat serbuan ke sebuah rumah di Kampung
Petai Bubus, Manir di sini.
Roslan berkata remaja berumur 19 tahun dan bekerja sebagai pengimpal disyaki sebagai pengedar dadah.
Beliau
berkata mengikut statistik dari Januari hingga Jun tahun ini, sejumlah
5,245 tangkapan telah dibuat terhadap pelbagai kesalahan berkaitan dadah
berbanding 4,419 dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Katanya
perangkaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 826 tangkapan. Bagi
pembekal dadah pula meningkat seramai 10 orang dalam tempoh enam bulan
tahun ini iaitu daripada 197 tahun lalu kepada 207 orang tahun ini.