Sembilan Warga Pdrm Berlepas Ke Sudan Sertai Misi Pengaman
SEMBILAN WARGA PDRM BERLEPAS KE SUDAN SERTAI MISI PENGAMAN
Sepang, 8 Oktober 2017 - Seramai sembilan pegawai kanan dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini akan berlepas ke Sudan bagi melaksanakan Misi Pengaman di bawah naungan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang juga dikenali sebagai United Nation African Union Mission in Darfur, Sudan (UNAMID) bagi tempoh satu tahun berikutnya.
Kontinjen tersebut terdiri daripada ASP Mohd Nor Kassim,ASP Suhaimi Sulaiman,ASP Thangaraja Balaraman, Inspektor Abdul Samad Haji Awang, Sub Inspektor Ooi Hock Gun, Sarjan Mejar Mohammad Abd Rahman, Sarjan/D Baktha Vachil Karappiah, Koperal/D Adzhar Hamid dan Koperal Mohamed Ibrahim Hamizan. Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Maklumat Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan, SAC Shukri Abdullah hadir mewakili Ketua Polis Negara bagi menyempurnakan Majlis Meraikan Penghantaran (Send-Off) Pegawai/Anggota PDRM Ke Misi Pengaman tersebut yang bertempat di Bilik Tetamu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.
SAC Shukri Abdullah dalam ucapan amanatnya, mengingatkan kepada petugas terlibat supaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna di samping menjaga integriti demi pasukan dan negara.
Penglibatan PDRM secara aktif dalam Misi Pengaman PBB bertitik tolak dari penghantaran 14 warga PDRM ke Misi Angola sejak tahun 1991, seterusnya diikuti Misi UNAMID dari tahun 2008 dan Misi Republik Sudan Selatan (UNMISS) tahun 2011 tertakluk atas permintaan pihak United Nation New York dan PBB.
Peranan PDRM dalam membantu menangangani pergolakan di republik tersebut adalah sebagai “Pemerhati Polis”, program Community Policing serta tugas-tugas kepolisan mengikut piawaian kepolisan antarabangsa bersama polis tempatan.
Hadir sama dalam majlis tersebut,Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran/Belanjawan) Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan, ACP Che Zakaria Othman, Ketua Pegawai Turus Istiadat Polis Diraja Malaysia, Superintenden Mat Shukor Yusof, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang (KLIA 1), Superintenden Mohamed Mukhsen Mohamed Zon, warga PDRM dan ahli keluarga.
Sekitar majlis