Sembilan Lelaki Ditahan Disyaki Terlibat Kegiatan Ceti Haram
Kuantan,
23 Jan - Polis Pahang percaya dapat membanteras kegiatan ceti haram
atau along yang menumpukan peminjam di kalangan kaki judi di Genting
Highlands selepas menahan sembilan lelaki dalam operasi 21 Jan lepas.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Azizan Md Isa berkata
kegiatan along yang bergerak secara perseorangan itu bukan sahaja
memberi perkhidmatan pinjaman wang antara RM1,000 dan RM10,000 malah
mereka dipercayai turut menjalankan kegiatan pelacuran.
"Along
yang ditahan turut menjalankan aktiviti gadaian kepada peminjam yang
tidak mampu melunaskan pinjaman dengan menerima barangan seperti telefon
bimbit, barang kemas, komputer riba dan kereta," katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Katanya kesemua suspek berumur 27 hingga 52 tahun itu berasal dari Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Dalam operasi itu polis turut merampas 378 keping kad panggilan, 15 unit telefon bimbit dan wang tunai RM12,561.
Menurut
Azizan, dua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis
methamphetamine dan mereka kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis
Daerah Bentong.
Mengulas
lanjut mengenai aktiviti along di negeri ini, beliau berkata ia masih
dalam keadaan terkawal dan tiada kes ugutan secara serius yang diterima
mangsa.
"Sepanjang tahun lepas, hanya 12 serbuan yang dibuat membabitkan kegiatan along dan 13 suspek ditahan," katanya.
Sumber : BERNAMA