Sembilan Lelaki Ditahan Bersama 10 Bom Buatan Sendiri
Alor
Setar, 21 Sept - Polis Kedah menahan sembilan lelaki dan merampas 10
butir bom buatan sendiri dengan tujuh daripadanya belum siap sepenuhnya
dalam serbuan di dua lokasi berbeza di Sungai Petani semalam.
Ketua
Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata dalam operasi bermula 11.30
pagi dan berakhir 2.30 petang itu, tujuh daripada sembilan suspek
berumur 14 hingga 49 tahun itu ditahan di sebuah bengkel perusahaan
kecil dan sederhana manakala dua lagi di sebuah rumah.
Katanya
dalam serbuan itu anggotanya merampas tiga bom telah siap dan tujuh bom
lagi dalam proses pembikinan selain pelbagai peralatan seperti
belerang, paip PVC dan besi.
Beliau
berkata polis sedang meneliti sama ada suspek yang ditahan itu terlibat
dalam dua kes berkaitan senjata api di daerah Kota Setar dan kes
letupan bom yang mengakibatkan kematian seorang wanita tahun lepas di
Sungai Petani atau jenayah di negeri lain.
"Bom
ini mampu melambungkan sebuah kereta setinggi dua atau tiga tingkat
bangunan kalau meletup. Suspek berusia 14 tahun mungkin tidak bersekolah
dan kita sedang siasat motif dia terlibat dalam kumpulan itu," katanya
kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di
sini hari ini.
Ahmad
berkata suspek yang berasal dari negeri ini dan Lembah Klang itu
direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan serta
motif mereka membuat 10 bom terbabit.
Beliau berkata suspek ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).
Sementara
itu, Ahmad berkata menerusi Ops Cantas Khas, polis akan menjalankan
pemeriksaan secara teliti terhadap orang ramai yang keluar masuk dari
negara ini ke negara jiran terutama hari minggu.
Katanya
bermula semalam dalam tempoh dua minggu ini, Polis Kedah telah menambah
anggota untuk melakukan pemeriksaan berhampiran pintu sempadan Bukit
Kayu Hitam bagi menahan sesiapa yang terlibat dalam jenayah.
Beliau
berkata setakat ini 40 orang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk
mereka yang terlibat dalam pertubuhan haram, dan masih disiasat untuk
dituduh mengikut undang-undang yang ada.
Sumber : BERNAMA