Samun Warga Asing Pengawal Keselamatan Ditahan
Bukit Mertajam, 20 Mei - Seorang pengawal keselamatan yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun warga asing di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di sini berjaya ditahan polis dalam serbuan di Kampung Tok Sani, Butterworth dekat sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata lelaki berumur 47 tahun itu ditahan selepas sepasukan polis menyerbu rumahnya kira-kira pukul 1 pagi.
"Kami menubuhkan satu pasukan khas susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki warga Indonesia yang disamun suspek pada 10 Mei lepas di Jalan Machang Bubuk, di sini sebelum berjaya menjejaki pengawal keselamatan berkenaan.
"Dalam kejadian itu, mangsa berusia 30-an sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah sewanya sebelum didatangi seorang lelaki menunggang sebuah motosikal dan mengacukan pisau kepada warga asing berkenaan sebelum menyamun wang tunai RM300, pasport dan dua buah telefon bimbit," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki itu melarikan diri melalui lubang di dinding rumah sewanya sebaik menyedari kehadiran polis, bagaimanapun tindakan pantas pasukan khas berkenaan berjaya menahan pengawal keselamatan terbabit.
Rusli berkata hasil pemeriksaan di dalam rumah lelaki itu, polis temui tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kamera, pasport Indonesia, kad bank dan walkie-talkie dipercayai barangan hasil samun.
"Kami juga merampas sebuah motosikal dan dua bilah pisau yang dipercayai digunakan ketika menyamun mangsa," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah itu terlibat sekurang-kurangnya lima kes samun warga asing di SPT.
Lelaki itu kini direman sehingga 22 Mei ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA