Sambutan Hari Polis Ke 210 Pm Rasmikan Upacara Simbolik Di Dewan Pengaman
SAMBUTAN HARI POLIS KE-210 : PM RASMIKAN UPACARA SIMBOLIK DI DEWAN PENGAMAN
Kuala Lumpur, 25 Mac 2017 – Kemeriahan Sambutan Hari Polis ke-210 tidak hanya terhenti di padang kawad bahkan ianya diteruskan lagi dengan beberapa upacara simbolik yang penuh bersejarah di Dewan Pengaman, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Aturcara dimulakan dengan penyampaian Anugerah Khas Juara Integriti PDRM oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai pengiktirafan kepada pegawai polis, anggota dan pegawai awam yang komited menjalankan tugas dengan telus dan berintegriti.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan pelancaran Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Inisiatif ini adalah bagi memastikan kebajikan pesara serta ahli keluarga mereka terpelihara, disamping mengajak masyarakat bersama-sama menghargai mereka yang telah berkorban demi keamanan dan kesejahteraan Negara.
Lebih manis lagi dalam majlis tersebut, pihak kerajaan Malaysia telah mengumumkan sumbangan berjumlah RM3 juta untuk dimasukkan ke dalam tabung tersebut bagi tujuan kebajikan warga PDRM.
Sementara itu, turut diadakan pelancaran aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang akan memudahkan orang ramai menyalurkan aduan atau maklumat jenayah kepada pihak polis secara atas talian yang boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘Google Play, Apps Store dan Window Store’.
YAB Perdana Menteri turut menyempurnakan pelancaran Coffee Table Book bertajuk Pasukan F “Hanya Yang Berani” yang memaparkan perjuangan dan pengorbanan barisan perwira negara di kalangan Pasukan Operasi Khas (E3F) menentang anasir subversif komunis dalam negara ini yang dirahsiakan selama lebih 40 tahun.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Nur Jazlan Mohamed, barisan kepimpinan PDRM dan Kementerian Dalam Negeri, pesara-pesara polis khasnya dari Cawangan Khas, orang awam dan rakan-rakan media.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak merasmikan pelancaran Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak merasmikan pelancaran aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP)
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak merasmikan pelancaran Coffee Table Book bertajuk Pasukan F “Hanya Yang Berani”
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyampaikan Anugerah Khas Intergiti kepada para penerima.