
Sac Dennis Leong Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Baharu
Kuching, 11 Mei 2018 - SAC Dennis Leong Soon Kuai dilantik menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak yang baharu menggantikan DCP Dato' Dev Kumar yang dinaikkan pangkat.
Dato' Dev akan menjawat jawatan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur mulai Isnin depan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato' Sri Amer Awal memuji Dato' Dev yang telah menunjukkan tugas cemerlang sepanjang menjawat jawatan itu dan yakin pengganti beliau mampu memikul tanggungjawab yang ditinggalkan.
“Saya ingin mengingatkan kepada pegawai-pegawai kanan polis di negeri ini supaya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasan masing-masing agar setiap kes yang disiasat dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika berucap selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dato' Sri Amer berkata proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Sarawak Rabu lepas berjalan lancar tanpa sebarang insiden serius adalah hasil perancangan rapi yang dilakukan sejak tahun lepas selain semangat kerja berpasukan.
Sementara itu, Dato' Dev berkata Sarawak adalah negeri paling aman dengan indeks jenayah yang rendah serta penduduknya yang ramah dan cintakan keamanan. - BERNAMA