Rondaan Di Lrt Pendekatan Terbaru Polis Selangor
Ampang,
18 Mac 2011 - Ketua Polis Selangor YDH DCP Dato' Hj. Tun Hisan bin
Dato' Tun Hamzah pagi tadi telah menghadiri Program Polis Bersama
Masyarakat / Community Policing di
Ampang Selangor. Beliau yang turut diiringi oleh YDH Dato' A.Thaiveegan,
Timbalan Ketua Polis Selangor, dan beberapa Pegawai Kanan dari Urusetia
NKRA Bukit Aman serta IPK Selangor.
Ketibaan
YDH Dato' Hj. Tun Hisan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Cempaka
disambut oleh YDH ACP Amiruddin bin Jamaluddin, Ketua Polis Daerah
Ampang Jaya dan sejurus selepas itu beliau menaiki LRT untuk melawat
tempat berlangsungnya program di Stesen LRT Ampang. YDH Dato' Hj. Tun
Hisan juga sempat berbual dengan pengguna LRT bagi mendapatkan maklum
balas berkenaan persepsi mereka terhadap keadaan jenayah semasa.
Semasa
memberitahu pada sidang media, YDH Dato' Hj. Tun Hisan menjelaskan
bahawa program polis menemui komuniti pengguna LRT ini adalah merupakan
kali pertama dibuat di Selangor.
"Kami
(Polis Selangor) memandang serius dalam menentukan keselamatan pengguna
LRT ini yang mencecah seramai 40,000 hingga 60,000 pengguna sehari dan
300,000 orang pengguna dalam masa sebulan", jelas beliau.
Kebanyakan kes jenayah yang berlaku dalam LRT adalah kes seluk saku yang kebanyakannya dilakukan oleh warga negara asing manakala di luar LRT pula terdapat banyak kes ragut dan sebagainya. Kini Polis Selangor telah mengambil pendekatan yang lebih efektif iaitu dengan menempatkan payung bersama anggota bertugas di beberapa stesen LRT terpilih pada waktu puncak (waktu pergi/balik dari kerja).
Tambah beliau lagi, payung yang digunakan kini mempunyai beacon light di
bahagian atas dan ini bagi memudahkan orang ramai melihatnya dari jauh
di waktu pagi ataupun malam dan mejanya pula boleh ditukar menjadi papan
untuk sekatan jalan raya. Kelengkapan seperti ini akan memudah serta
mempercepatkan lagi pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah. PDRM
bersama Polis Bantuan (Auxilary Police) Rapid
KL akan bersama-sama membuat rondaan di kawasan sekitar stesen mahupun
dalam LRT. Sebelum berangkat pulang, YDH Dato' Hj. Tun Hisan sempat
melawat beberapa gerai pameran PDRM di sekitar stesen LRT.
YDH Dato' Hj. Tun Hisan bin Dato' Tun Hamzah mendengar maklum balas dari Ahli Rukun Tetangga.
Seorang pengguna LRT memberikan maklum balas tentang jenayah semasa kepada YDH Dato' Hj. Tun Hisan.
Anggota JSJ IPD Ampang Jaya memberikan penerangan kepada YDH Dato' Hj. Tun Hisan.
Gerai pameran Cawangan Trafik IPD Ampang Jaya.
Inilah meja dwi-fungsi yang boleh dijadikan papan bagi Sekatan Jalan Raya (SJR).
YDH Dato' Hj. Tun Hisan berjalan bersama-sama pegawai, anggota dan masyarakat bagi meninjau lokasi sekitar stesen LRT.
Para pengamal media menemuramah YDH Dato' Hj. Tun Hisan.
Berita dan gambar : L/Kpl Baharin