Remaja Ditahan Samun Mesin Minuman Di Usm
George
Town, 17 Julai - Polis menahan seorang lagi remaja berusia 14 tahun
bagi membantu siasatan berhubung kes pecah dan samun mesin vendor
minuman di sekitar Sungai Dua dan Gelugor, di sini pagi tadi.
Ketua
Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil risikan dan
maklumat awam, suspek ditahan di sebuah flat di Sungai Dua, berdekatan
kampus Universiti Sains Malaysia (USM) pada pukul 2.30 pagi.
Katanya
polis turut merampas sebatang besi jenis 'kuku kambing' yang dipercayai
digunakannya untuk melakukan jenayah tersebut. "Dengan penangkapan
suspek, kita percaya dapat menyelesaikan sebanyak lima kes dan suspek
turut mengaku pernah memecah masuk beberapa bilik pensyarah dan pejabat
kampus USM," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau
berkata polis percaya suspek mempunyai kaitan dengan dua remaja yang
telah ditahan awal pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung kes
memecah mesin vendor minuman dan cubaan memecah mesin juruwang automatik
(ATM) di USM.
"Berdasarkan
rakaman CCTV (kamera litar tertutup), suspek yang kita tahan pagi ini
tidak terlibat dalam dua kes cubaan memecah mesin ATM itu tetapi
ketiga-tiga mereka saling mengenali dan kita yakin mereka ada kaitan,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Suspek
ditahan reman sehingga 24 Julai ini mengikut Seksyen 379 Kanun
Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum
tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sumber : BERNAMA