Rakan Cop Sinambungan Nkra Dalam Penurunan Indeks Jenayah Di Johor
RAKAN COP - SINAMBUNGAN NKRA DALAM PENURUNAN INDEKS JENAYAH DI JOHOR
JOHOR BAHRU, 21 Disember 2010 - Ketua Polis Johor,
YDH DCP Dato' Mohd Mokhtar Bin Mohd Shariff berkata, program Rakan Cop
diwujudkan sebagai satu langkah insentif Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
untuk mengurangkan statistik jenayah di negeri ini, juga sebagai usaha
berterusan kerajaan semenjak NKRA (Keberhasilan Utama Negara)
diperkenalkan.
YDH DCP Dato' Mohd Mokhtar turut mengulas
pelaksanaan Rakan Cop menuntut tanggungjawab serta kesedaran masyarakat
tentang keselamatan dan ketenteraman awam diimplementasikan secara
kolektif dan produktif.
Berucap semasa Majlis Penghargaan Rakan
Cop Polis Johor di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru hari ini, beliau
menjelaskan, Rakan Cop merupakan medium perantara untuk merapatkan
jurang antara PDRM dan masyarakat sekaligus mengubah persepsi negatif
umum terhadap bidang kuasa dan tugas PDRM semenjak kebelakangan ini.
Melalui
program ini, masyarakat diberi pendedahan dan peluang untuk menjadi
mata dan telinga PDRM dalam proses saluran maklumat dan pembanterasan
jenayah sehingga ke peringkat maksimum. Timbalan Menteri Dalam Negeri,
Dato' Lee Chee Leong yang turut hadir untuk penyempurnaan majlis
tersebut dalam ucapannya berkata, program ini bersesuaian dengan
identitinya yang bersifat 'community oriented policing' dan 'smart partnership'
di mana kerjasama masyarakat dengan PDRM menghasilkan keberkesanan
institusi penguatkuasaan undang-undang dan meningkatkan ekspektasi
masyarakat terhadap PDRM dalam pemantapan integrasi nasional.
Beliau
turut menyeru masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) supaya
tampil membantu PDRM dalam mencapai matlamat pengurangan statistik
jenayah sekaligus meningkatkan pembangunan industri pelancongan di
negeri ini.
SARJAN MEJAR SAZALI ABDUL SAMAD DILANTIK SEBAGAI IKON RAKAN COP POLIS JOHOR
Juara
Bina Badan Mr. Universe 6 kali, Sarjan Mejar (SM) Sazali Abdul Samad
telah dilantik sebagai ikon Rakan Cop Polis Johor pada hari ini
berdasarkan semangat juang dan pencapaian beliau yang membanggakan dalam
sukan bina badan di peringkat antarabangsa.
Harapan PDRM dengan
perlantikan ini, semoga masyarakat di negeri Johor lebih mudah
menjadikannya sebagai pendorong untuk melibatkan diri dalam program
membudayakan semangat kepolisan kepada masyarakat sekaligus berganding
bahu untuk bersama-sama dengan polis memerangi jenayah di negeri ini.
Sementara
itu, turut hadir dalam majlis tersebut ialah YDH SAC Dato' Abdul Samah
bin Mat, Ketua Urusetia NKRA Bukit Aman yang mewakili Ketua Polis Negara
dan jemputan-jemputan khas dari seluruh Johor.
Majlis bermula pada
pukul 3 petang itu turut menyaksikan persembahan bina badan daripada SM
Sazali Samad bersama 8 perantis bina badan PDRM dan penyerahan
cenderahati serta anugerah Rakan Cop Cemerlang Polis Johor 2010 kepada
14 warga Johor yang telah banyak membantu pihak polis dalam memerangi
dan mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.
ucapan daripada YB Dato' Lee Chee Leong...

simbolik
pelancaran Majlis Penghargaan Rakan Cop Polis Johor oleh YB Dato' Lee
Chee Leong dan DCP Dato' Mohd Mokhtar, Ketua Polis Johor.
gimik persembahan daripada Sarjan Mejar Sazali Samad...
persembahan bina badan daripada anggota PDRM...
barisan perantis Sukan Bina Badan PDRM...
Perlantikan SM Sazali Samad sebagai ikon Rakan Cop Polis Johor..
salah seorang Penerima Anugerah Rakan Cop Cemerlang Polis Johor 2010, Encik Chua Teck Boon dari Muar, Johor...
upacara penyampaian cenderahati di antara KP Johor dan Timbalan Menteri Dalam Negeri
program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Anggota FRU menerangkan penggunaan alatan 'spike strip' kepada pengunjung.
Jurufoto : L/Kpl Muhammad Lokmanul Hakim
Konst Mohd Helmi bin Saadin
Wartawan : L/Kpl Noor Azima
Konst Irfan bin Bujang
Penyunting : F29 Siti Fatimah bt Abdul Manan