
Artikel
Pucuk Pimpinan Pasukan Kontinjen Dan Ketua Formasi Pdrm Ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri
Pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia, barisan pengarah dan ketua-ketua polis kontinjen termasuk komander-komander serta ketua-ketua formasi mengambil kesempata...
Kuala Lumpur, 23 April 2023 - Pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia, barisan pengarah dan ketua-ketua polis kontinjen termasuk komander-komander serta ketua-ketua formasi mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga Pasukan dan rakyat Malaysia yang meraikannya, semalam.
"Daripada Abi Umamah R.A daripada Nabi Muhammad SAW bersabda; sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata, hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagaimana matinya hati orang-orang yang kufur pada hari itu", ujar Tan Sri Razarudin.
Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Ir. Zaitun Mohd Isa bersama naib pengerusinya, Puan Sri Zainah Othman juga tidak ketinggalan mengutuskan ucapan Aidilfitri buat warga Pasukan dan sri kandi yang menjadi tulang belakang kuatnya PDRM.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Dato' Sri Mohd Kamarudin Md. Din bersama isteri, Datin Sri Johariah Urib Mohd Arifin menyampaikan serangkap pantun Aidilfitri.
"Tangan dihulur maaf dipohon,
Tanda ikhlas mensucikan hati,
Salah dan silap harap diampun,
Semoga berbahagia di Aidilfitri", ujar pasangan tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), CP Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pula mengutuskan salam Aidilfitri 2023 dengan ucapan maaf zahir dan batin.
Ucapan bersama isterinya selaku Pengerusi PERKEP JSJ, SAC Datin Seri Zalena Mohd Arifin itu dimuat naik dalam Facebook Rasmi JSJ.
Manakala Pengarah Pengurusan, CP Dato' Azmi Abu Kassim. melalui hantar di Facebook Jabatan Pengurusan PDRM mengajak warga Pasukan meraih kemengan 1 Syawal dengan saling bermaafan.
Tidak ketinggalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Dato' Sri Mat Kasim Karim bersama isteri selaku Pengerusi PERKEP JSPT, Datin Sri Hayati Dali mengutuskan ucapan buat warga Pasukan khasnya Pegawai dan Anggota JSPT yang bertugas dalam Op Selamat 20 Aidilfitri.
"Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin 1444 hijrah, 2023 masihi", ujar mereka yang dikongsi dalam Media Sosial Rasmi JSPT.
Ketua Polis (KP) Kelantan, CP Dato' Mohd Zaki Hj. Harun pula suka berkongsi sepotong ayat suci Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 185, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
"... dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah SWT kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur", jelas maksud ayat tersebut yang dikongsikan dalam Facebook Rasmi Polis Kontinjen Kelantan.
Manakala KP Perak, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hassan Basri pula menyeru seluruh warga Pasukan khasnya di Kontinjen Perak untuk meningkatkan keimanan dan saling berlapang dada.
Menurutnya, iman yang paling utama adalah sabar dan pemaaf atau lapang dada. Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ad-Dailami itu dicatatkan menerusi e-banner Aidilfitri yang dikongsi dalam Facebook Rasmi Polis Kontinjen Perak.



















