
Artikel
Pru 15 Pdrm Siap Siaga Hadapi Bencana Banjir Dan Kawalan Keselamatan Persempadanan Negara
Kuching, 12 November 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memastikan warga kerjanya siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan kawalan keselamat...
Kuching, 12 November 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memastikan warga kerjanya siap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan kawalan keselamatan persempadanan negara selain persediaan hari pengundian yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Razarudin Husain, perancangan yang rapi perlu dibuat dalam menghadapi MTL yang bermula lebih awal daripada yang dijangka iaitu pada 7 November dan akan berterusan sehingga Mac 2023 sepertimana ramalan daripada Malaysian Meteorological Department.
Dalam kenyataannya juga, kawasan-kawasan 'hotspot' banjir perlu dikenal pasti untuk membuat perancangan awal penugasan dan pelan keselamatan. Selain itu, dalam masa yang sama, kerjasama dengan agensi-agensi sahabat dan pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan, perlu diperkukuhkan lagi dalam menjayakan misi bantuan dan menyelamat mangsa yang terkesan dengan segera.
Menurutnya lagi, warga Pasukan juga perlu diberi kefahaman bahawa pengurusan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) adalah di bawah kendalian PDRM dan jika berlaku kejadian banjir semasa hari pembuangan undi, Bilik Gerakan Pilihan Raya Umum akan turut dijadikan PKTK.
Selain itu, PDRM juga tidak akan sesekali mengabaikan tugas dan peranan utamanya untuk mengekalkan kawalan keselamatan dan keamanan negara termasuklah di sempadan negara Malaysia-Indonesia dan Malaysia-Brunei yang kekal menjadi 'active duties' Pasukan secara berterusan.
Tan Sri Razarudin yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke kontinjen Sarawak bermula hari ini, telah ditaklimatkan mengenai persediaan Polis Sarawak oleh Pesuruhjaya Polis negeri, CP Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri dan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, SAC Mohd Hairuddin Che Hamid dalam Taklimat PRU serta Keperluan Tambahan Bantuan Sumber Manusia dan Keselamatan Sempadan Semasa PRU-15 yang berlangsung di IPK Sarawak, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, DCP Gilberd Philip Layang, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Mancha Ata, barisan Ketua Jabatan, Ketua-ketua Polis Daerah dan Formasi Kontinjen Sarawak.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin







