
Artikel
Pru 15 Kawalan Keselamatan Sempadan Negara Terus Diberi Fokus Utama Timbalan Kpn
Kota Bharu, 7 November 2022 - Meskipun hampir seluruh kekuatan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya Polis Kelantan ditugaskan untuk menghadapi Pilihan Ra...
Kota Bharu, 7 November 2022 - Meskipun hampir seluruh kekuatan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) khasnya Polis Kelantan ditugaskan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan Monsun Timur Laut, namun usaha memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan negara akan kekal diberi fokus berterusan.
"Inilah cabaran terbesar yang perlu dipikul kita semua. Ini termasuklah kawalan keselamatan di sempadan negara yang kekal menjadi 'active duties' Pasukan secara berterusan."
"Perancangan untuk pengaturan penugasan perlu diperhalusi daripada segenap aspek untuk memastikan beban tugas seimbang dan dalam masa sama, aspek kebajikan terhadap warga Kontinjen kekal menjadi keutamaan," ujar beliau.
Tan Sri Razarudin menyampaikan amanat beliau dalam Taklimat PRU dan Keperluan Bantuan Sumber Manusia serta Keselamatan Sempadan Semasa PRU-15 yang berlangsung di Dewan Mesyuarat Utama dekat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, pagi tadi.
Beliau yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Kontinjen itu, turut ditaklimatkan mengenai persediaan Polis Kontinjen Kelantan oleh Ketua Polis (KP) negeri, CP Dato' Muhamad Zaki Hj. Harun.
Dalam masa yang sama, Tan Sri Razarudin turut menasihatkan warga PDRM untuk menghindari penyalahgunaan media sosial semasa bertugas, selain sentiasa menjaga kerahsiaan maklumat rasmi jabatan.
Menurut beliau lagi, tindakan tegas boleh diambil ke atas mana-mana warga Pasukan yang didapati dengan sengaja menggunakan media sosial membuat perkara-perkara yang menyalahi peraturan mahupun undang-undang.
Hadir sama, Timbalan KP Kelantan, DCP Dato’ Azman Ayob, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, SAC Datuk Mohd Sukri Kaman, Komander Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am, SAC Dato' Hasan Basri Ahmad Safar, Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran) Bukit Aman, SAC Kamaruzaman Abdullah, barisan Ketua Jabatan IPK Kelantan, Ketua-ketua Polis Daerah dan Formasi Kontinjen Kelantan.
Jurugambar: Inspektor Muhamad Asiff Jamaldin






