
Article
Pru 15 Artikel Pilihan Polis Keluarkan 2 148 Permit Ceramah Kempen Pru 15 Tahan Empat Lelaki
Kuala Lumpur, 17 November 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 2,148 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-...
Kuala Lumpur, 17 November 2022 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 2,148 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) merangkap Pengarah Operasi PRU-15 PDRM, CP Dato’ Sri Hazani Ghazali berkata 326 permit dikeluarkan di Sabah, Pahang (300), Sarawak (293), Perak (221), Johor (208), Kedah (180), Kelantan (147), Selangor (112), Negeri Sembilan (103), Melaka (94), Terengganu (89), Pulau Pinang (40), Perlis (23) serta Kuala Lumpur (12).
Beliau berkata tiada ceramah tanpa permit direkodkan semalam.
Katanya, polis telah membuka 20 kertas siasatan iaitu Selangor (empat), Kuala Lumpur (empat), Sarawak (tiga), Sabah (dua), masing-masing satu di Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu antaranya melibatkan kesalahan menghasut, ugutan jenayah, merosakkan bendera, papan tanda milik parti politik serta calon.
“Polis turut menahan empat lelaki iaitu tiga di Pahang dan seorang di Sarawak yang disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumber: BERNAMA