
Artikel
Program Uniti Merdeka Satukan Komuniti Semai Semangat Patriotisme
Kuala Lumpur, 17 Julai 2026 – Polis Kontinjen Kuala Lumpur (KL) bersama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) menganjurkan Program Uniti Merdeka sebagai platfor...
Kuala Lumpur, 17 Julai 2026 – Polis Kontinjen Kuala Lumpur (KL) bersama Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) menganjurkan Program Uniti Merdeka sebagai platform menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang menerusi pengisian berteraskan perpaduan, kesejahteraan dan semangat patriotisme.
Majlis Peluncuran Uniti Merdeka Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2026 yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini mengangkat tema "Kepelbagaian Disatukan, Kesejahteraan Dikekalkan", mencerminkan komitmen memperkukuh hubungan antara masyarakat, agensi kerajaan, sektor korporat, badan bukan kerajaan, sukarelawan serta komuniti setempat.
Berucap merasmikan majlis, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mendukung prinsip bahawa keamanan negara merupakan tanggungjawab bersama menerusi pendekatan "Community Policing", selaras dengan slogan "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada".
Menurut beliau, peranan warga Pasukan bukan sahaja sebagai penguat kuasa undang-undang, malah turut bertindak sebagai pelindung serta rakan strategik masyarakat dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru golongan belia agar menyertai platform pembangunan sahsiah seperti Kor Kadet Polis dan e-sukan bagi membentuk generasi yang berdisiplin, berintegriti serta mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan PDRM akan terus melaksanakan usaha berterusan selaras dengan aspirasi "Keep KL Safe" bagi memastikan Kuala Lumpur dan negara kekal aman serta selamat.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan Persembahan Tarian Perang KL Strike Force sebagai simbolik menyambut kehadiran para tetamu.
Seusai perasmian, Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid bersama Ketua Pengarah Eksekutif PRIHATIN, Dato' Mohd Aizuddin Ghazali, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri serta Ketua Polis KL, CP Dato' Fadil Hj. Marsus menyempurnakan Peluncuran Biasiswa Pendidikan UNITAR PRIHATIN sebelum Sumbangan Kebajikan Pendidikan PDRM PRIHATIN berupa komputer riba, bagasi dan cermin mata disampaikan kepada anak-anak warga PDRM.
Penyampaian hadiah Pertandingan Kawad Kaki Kor Kadet Polis pula menyaksikan Kontinjen Selangor, Melaka serta daerah Putrajaya, Cheras dan Wangsa Maju muncul sebagai penerima anugerah mengikut kategori yang dipertandingkan.
Program Uniti Merdeka yang bermula hari ini hingga 20 Julai 2026 menyediakan pelbagai aktiviti menarik, antaranya pameran dan reruai agensi kerajaan, Program Komuniti Prihatin, Majlis Ilmu (KL Berselawat), Fun Run 5KM, Fun Bike Ride, Pertandingan Muay Thai serta tayangan skrin besar Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026.
Hadir memeriahkan majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Puan Hannah Yeoh Tseow Suan, Pengarah, Pejabat Pendaftar UNITAR, Hj. Abd Razak Muhamad, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, barisan Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Mohamad Noor Yusof Ali serta wakil media.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryan Mustin





