
Artikel
Program Selawat Dan Munajat Perdana Polis Kl Perteguh Ukhuwah Dan Jiwa Spiritual Warga Pdrm
Kuala Lumpur, 7 November 2025 – Program Selawat dan Munajat Perdana 1447H/2025M anjuran Polis Kuala Lumpur (KL) berlangsung penuh keberkatan di Masjid Al-Sulta...
Kuala Lumpur, 7 November 2025 – Program Selawat dan Munajat Perdana 1447H/2025M anjuran Polis Kuala Lumpur (KL) berlangsung penuh keberkatan di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, di sini, petang tadi.
Bertemakan “Berselawat Demi Ummah, Bersatu Demi Keamanan”, program itu bertujuan memupuk semangat keagamaan dan perpaduan dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), di samping memperteguh nilai kerohanian serta mengisi jiwa spiritual anggota pasukan keselamatan di ibu negara.
Program tersebut turut mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Masjid Al-Sultan Abdullah.
Kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Seri Datuk Hj. Munirah Che Rose melengkapkan kehadiran tetamu kehormat pada majlis berkenaan.
Program dimulakan dengan ucapan oleh Ketua Polis (KP) KL, CP Dato’ Fadil Hj. Marsus, sebelum bacaan selawat dan qasidah yang dipimpin oleh kumpulan nasyid Rabbani menghidupkan suasana syahdu di masjid.
Para hadirin kemudiannya menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak berjemaah yang dipimpin oleh Imam Masjid Al-Sultan Abdullah, Al-Fadhil Ustaz Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi sebelum mendengar tausiah bertajuk “Doa Untuk Malaysia” yang disampaikan oleh pentausiah jemputan, Al Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al-Hamid.
Hadir sama dalam program berkenaan ialah Ketua Pengarah JAKIM, Dato' Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. merangkap Pengerusi Masjid Al-Sultan Abdullah, Dato' Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengarah JAWI, Tuan Haji Hanifuddin Roslan, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Bukit Bintang DBKL, Tuan Meor Rusydi Mohd Razali, Timbalan KP KL, DCP Dato’ Mohd Azani Omar, Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen KL, Datin Noraisah Abdullah Hashim, para pegawai dan anggota polis serta ahli-ahli PERKEP.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Muhammad Syafiq Abu Bakar



