
Artikel
Program Retreat Jsj 2026 Perkukuh Hala Tuju Strategik Pdrm
Manjung, 22 Januari 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan penganjuran Retreat...
Manjung, 22 Januari 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan penganjuran Retreat Fokus JSJ Tahun 2026 selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Januari 2026 di DoubleTree by Hilton Damai Laut Beach Resort, di sini.
Ia turut diserikan dengan kehadiran Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Seri Panglima Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail yang menyampaikan amanat kepada barisan kepimpinan JSJ, dengan penekanan terhadap hala tuju strategik, pengukuhan integriti serta keberkesanan pelaksanaan tugas dalam mendepani cabaran keselamatan semasa.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Pengarah JSJ, CP Dato’ M. Kumar S. Muthuvelu bersama barisan kepimpinan tertinggi JSJ sebelum dibawa ke dewan persidangan bagi mendengar pembentangan Taklimat Fokus JSJ 2026.
Dalam amanat yang disampaikan, beliau menegaskan bahawa JSJ merupakan tunjang utama penguatkuasaan undang-undang negara dan PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah, sama ada jenayah konvensional, jenayah siber, jenayah terancang mahupun jenayah rentas sempadan.
Beliau turut menekankan kepentingan pengukuhan integriti, pemerkasaan sumber manusia berteraskan teknologi moden, kolaborasi strategik serta pelaksanaan tindakan tegas terhadap sindiket jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Selain itu, KPN menyeru seluruh warga kerja JSJ agar menghayati Fokus Strategik JSJ 2026 bukan sekadar sebagai dokumen perancangan, sebaliknya dijadikan panduan kerja harian yang menuntut komitmen padu, disiplin tinggi dan tindakan bersepadu demi mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kepolisan.
Antara pengisian utama retreat yang diadakan ialah sesi perbincangan kumpulan serta pembentangan wakil jabatan yang merangkumi pelbagai inisiatif strategik ke arah memperkukuh keberkesanan siasatan dan penguatkuasaan undang-undang.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari dan Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abdul Rahman Kassim.
Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Azri Mohd Sabri dan Lans Koperal Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi.




