
Artikel
Program Penghayatan Nilai Islam Sempena Ramadan Memperkasa Integriti Anggota Keselamatan
Kuala Lumpur, 25 Februari 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah menganjurkan Program Penghayatan N...
Kuala Lumpur, 25 Februari 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah menganjurkan Program Penghayatan Nilai-Nilai Islam, Wacana Ilmu Sempena Ambang Ramadan Tahun 1446 Hijrah di Dewan Sultan Hj. Ahmad Shah, Maktab PDRM Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Wacana ilmu bertemakan "Keamanan, Keadilan dan Keberkatan: Inspirasi dari al-Quran dan Sunnah Bagi Anggota Keselamatan" itu menekankan kepentingan nilai-nilai Islam dalam membentuk integriti dan profesionalisme anggota keselamatan.
Terdahulu, ketibaan Al-Allamah Syeikh Dr. Usamah diiringi Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay bersama Timbalan Pengarah (Bahagian Agama & Kaunseling), JIPS Bukit Aman, DCP Datuk Azhan Abdul Halim mewakili Jawatankuasa Penganjur Program.
Dalam ceramahnya, Al-Allamah Syeikh Dr. Usamah menekankan peranan anggota keselamatan sebagai pelindung masyarakat yang harus berpaksikan prinsip keadilan dan keberkatan seperti yang digariskan dalam al-Quran dan Sunnah.
Beliau turut menekankan kepentingan amanah serta keikhlasan dalam menjalankan tugas demi menjaga keamanan negara.
Ceramah telah diterjemahkan oleh Pengurus Yayasan Ar-Ri'ayah Kuala Lumpur, al-Fadhil Ustaz Hj. Bashir Mohamed al-Azhari yang menjelaskan mesej utama penceramah mengenai keadilan sebagai asas utama dalam pelaksanaan tugas keselamatan.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah dan diikuti sesi bergambar sebagai kenang-kenangan.
Program yang diadakan telah menghimpunkan lebih 300 pegawai polis daripada pelbagai pangkat dan pegawai awam PDRM yang berusaha mendalami ilmu bagi memperkukuh nilai-nilai Islam, seiring dengan peranan mereka dalam menjaga ketenteraman awam.
Hadir sama, Mufti Negeri Perak, Sahibus Samahah Dato’ Seri Hj. Wan Zahidi Wan Teh, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri dan barisan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM.