
Artikel
Program Jelajah Wira Madani Pemangkin Semangat Esprit De Corps Warga Pdrm Bersama Komuniti Di Pulau Pinang
George Town, 13 Julai 2026 – Program Jelajah Wira MADANI Kontinjen Pulau Pinang 2026 yang berlangsung di Padang Kawad Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah...
George Town, 13 Julai 2026 – Program Jelajah Wira MADANI Kontinjen Pulau Pinang 2026 yang berlangsung di Padang Kawad Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Batu Uban, pagi tadi menjadi pemangkin semangat "esprit de corps" dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), di samping mengukuhkan hubungan erat antara Pasukan dengan komuniti setempat.
Program yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay itu merupakan inisiatif Kerajaan MADANI bagi menzahirkan penghargaan dan keprihatinan terhadap jasa pengorbanan petugas barisan hadapan serta anggota keselamatan yang sentiasa komited dalam memastikan keamanan, ketenteraman juga kesejahteraan negara terus terpelihara.
Berucap merasmikan program tersebut, Tan Sri Ayob Khan berkata, penganjuran Jelajah Wira MADANI merupakan manifestasi penghargaan kerajaan dan pucuk pimpinan PDRM terhadap komitmen serta pengorbanan warga Pasukan, selain memperkukuh ukhuwah dalam kalangan seluruh warga kerja PDRM.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada warga PPM yang menjadi benteng utama dalam mempertahankan keselamatan perairan negara daripada ancaman jenayah rentas sempadan serta pencerobohan yang boleh menggugat keselamatan maritim. Menurut beliau lagi, meskipun berdepan risiko tinggi dan cabaran operasi di lautan, warga PPM terus mempamerkan komitmen, keberanian serta profesionalisme yang amat membanggakan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk tarian Malaysia MADANI oleh TGI Aerobic Sport Club serta demonstrasi Tempur Tanpa Senjata oleh 10 anggota operatif Unit Gempur Marin atau UNGERIN yang diketuai oleh Inspektor Mohd Mujaddid Azman Shah.
Pada program sama, Tan Sri Ayob Khan turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 10 penerima yang terdiri daripada pesara polis dan waris warga Pasukan Kontinjen Pulau Pinang sebagai simbol keprihatinan berterusan PDRM dalam menyantuni serta meringankan beban golongan tersebut.
Selain itu, program turut dimeriahkan dengan reruai pameran yang menampilkan pelbagai aset PDRM, perkhidmatan kesihatan dan aktiviti sukan rakyat. Inisiatif ini bertujuan mendekatkan masyarakat dengan peranan PDRM dan agensi penguat kuasa, sekali gus memperkukuh kerjasama ke arah mewujudkan komuniti yang selamat, aman serta sejahtera.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri, barisan Timbalan Pengarah PDRM, Ketua Polis Pulau Pinang, CP Datuk Dennis Lim Kwang Keng, Komander PPM selaku Penaung Jawatankuasa Program, SAC Shamsol Kassim.
Jurugambar: PDRM RMP





