
Artikel
Prk Kpn Tinjau Kelancaran Proses Buang Undi Di Kuala Kubu Bharu
Kuala Kubu Bharu, 11 Mei 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain turun padang bagi meninjau proses pembuangan undi sempena Pilihan Raya Ke...
Kuala Kubu Bharu, 11 Mei 2024 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain turun padang bagi meninjau proses pembuangan undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Ketibaan beliau sekitar jam 11.00 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor tadi telah disambut oleh Ketua Polis negeri, CP Dato’ Hussein Omar Khan.
Tan Sri Razarudin kemudiannya telah dibawa ke Bilik Gerakan IPD bagi mendengar taklimat penugasan PRK DUN N.06 Kuala Kubu Bharu yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Hulu Selangor merangkap Pegawai Medan PRK, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dan seterusnya taklimat keselamatan oleh Pengarah Cawangan Khas, CP Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail di Mes Pegawai Kanan Maktab Kuala Kubu Bharu.
Beliau kemudiannya mengadakan lawatan ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu bagi meninjau kelancaran proses pengundian selain memastikan kawalan keselamatan sentiasa terjamin sepanjang tempoh pengundian berlangsung.
Seramai 1,133 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia telah ditugaskan di 19 pusat mengundi dan 74 saluran bagi melancarkan proses pembuangan undi di PRK DUN N.06 Kuala Kubu Bharu kali ini.
Hadir sama, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad, barisan Ketua Jabatan Kontinjen Selangor dan Komandan Maktab Kuala Kubu Bharu, ACP Mohd Sabri Abdullah.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin