Ppm Tawau Gagalkan Tiga Cubaan Seludup 1 220kg Gula Pasir Ke
Tawau, 20 Ogos - Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menggagalkan tiga cubaan menyeludup keluar 1,220 kilogram gula pasir menggunakan feri penumpang ke negara jiran semalam.
Komander PPM Wilayah Sabah ACP Mohammad Madun berkata barangan kawalan berkenaan dirampas dari tiga buah feri penumpang yang dalam perjalanan ke Nunukan, Indonesia, selepas diperiksa di kawasan perairan Sungai Tongkang.
Katanya pemeriksaan ke atas feri pertama yang baru berlepas dari pelabuhan Tawau pada pukul 3.20 petang oleh sepasukan empat anggotanya menemui 480 kilogram gula pasir yang disembunyikan di ruang kargo feri berkenaan.
"Pemeriksaan ke atas feri penumpang kedua dan ketiga pada pukul 4.10 petang dan 4.35 petang di kawasan perairan yang sama pula membawa kepada penemuan masing-masing 360 kilogram dan 380 kilogram gula pasir di ruang kargo kedua-dua feri itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohammad berkata tiada penumpang ataupun anak kapal di dalam ketiga-tiga feri penumpang berkenaan mengaku pemilik barangan kawalan yang dianggarkan bernilai RM3,050 itu dan kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam kerana membawa keluar barangan kawalan tanpa kebenaran.
Katanya
kesemua barangan rampasan yang disyaki untuk pasaran di negara jiran
dibawa ke pangkalan PPM Tawau dan diserahkan kepada Jabatan Kastam untuk
tindakan lanjut.
Sumber : BERNAMA