Ppm Tahan Pemandu Teksi Enam Pati
PPM TAHAN PEMANDU TEKSI, ENAM PATI
Johor Bahru, 2 Mei 2017 - Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang menahan seorang pemandu teksi rakyat tempatan yang membawa enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang baru memasuki negara ini melalui jalan tidak sah di kawasan Sungai Tengah, Kota Tinggi.
Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata pemandu teksi berusia 36 tahun dan semua PATI berusia lingkungan 23 hingga 35 tahun itu ditahan dalam serbuan PPM Markas Taktikal Pengerang dengan dibantu anggota bot ronda, kira-kira jam 3.30 petang semalam.
"Hasil siasatan awal mendapati pemandu teksi itu dipercayai bertindak sebagai 'transporter' dengan mengangkut PATI yang baru tiba di negara ini di laluan yang tidak sah di lokasi yang tidak sah.
"Kita masih menyiasat pembabitan pemandu teksi itu tetapi setakat ini kita percaya dia sudah banyak kali mengangkut PATI dengan menggunakan teksi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Khon Chiang berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana cuba masuk ke negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan dan seksyen 6(1)(c) akta yang sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 27 J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Selain itu beliau berkata, dalam serbuan berasingan, pihaknya menahan sekumpulan 83 PATI yang dipercayai sedang menunggu bot pancung untuk pulang ke Indonesia, di pesisir Pantai Batu Layar, Sungai Rengit, dekat Kota Tinggi, kira-kira jam 6 petang semalam.
"Semua PATI yang tidak memiliki dokumen yang sah dan berada di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan, mengaku sedang menunggu bot pancung untuk membawa mereka balik ke Indonesia," katanya.
Khon Chiang berkata, sejak awal tahun ini sehingga semalam, pihaknya sudah menahan 415 PATI mengikut Akta Imigresen dan lapan lagi di bawah ATIPSOM, selain turut merampas bot, enjin dan kereta yang digunakan untuk menyeludup masuk atau keluar PATI.
Sumber : https://www.bharian.com.my/node/278177