Ppm Pengerang Rampas Rokok Arak Bernilai Rm85 Ribu
Kota Tinggi, 23 Mac- Pasukan Polis Marin (PPM) Pengerang mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis rokok dan minuman keras bernilai RM85,000 dalam dua operasi berasingan Op Landai dan Op Pensura di sebuah pusat beli belah, dekat sini, petang semalam.
Menurut Komander PPM Wilayah 2, ACP Paul Khiu Khon Chiang, dalam serbuan pertama pihaknya yang dibantu oleh anggota dari Balai Polis Pengerang telah membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan polis mendapati terdapat 20,240 batang rokok keretek dan rokok putih pelbagai jenis yang disorokkan dalam bonet kenderaan terbabit.
"Manakala di ruangan tempat duduk hadapan dan belakang pula, pihak polis menjumpai sebanyak 67 tin dan 52 botol minuman keras pelbagai jenama," ujar beliau.
Dalam pada itu, ACP Paul turut memaklumkan kejayaan PPM menerusi hasil maklumat awam kepada pihaknya tentang sebuah kenderaan turut ditinggalkan di kawasan letak kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
"Setelah menunggu beberapa ketika, tiada kelibat pemilik kenderaan terbabit dan pemeriksaan telah dibuat ke atasnya serta menemui 238 tin serta 102 botol minuman keras pelbagai jenis yang diletakkan di dalam kenderaan tersebut," tambah beliau.
PPM turut merampas kedua-dua kenderaan dalam operasi terbabit untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.