Article
Posting Pilihan Op Khazanah Kerjasama Pelbagai Agensi Penguat Kuasa Diperkukuh Dalam Melakar Kejayaan Lindungi Khazanah Negara
Dalam sesi pembentangan yang diadakan, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid berkata, sejak OBK dilancarkan ia telah memberi impak yang positif dan berjaya menyumbang...
Langkawi, 29 Disember 2020 – Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador hadir ke Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama agensi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan PERHILITAN Malaysia, di sini, pagi tadi.
Mesyuarat tersebut diadakan bagi membentangkan kejayaan dan penguatkuasaan yang telah dijalankan oleh kesemua agensi penguat kuasa sepanjang tahun 2020.
Dalam sesi pembentangan yang diadakan, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid berkata, sejak OBK dilancarkan ia telah memberi impak yang positif dan berjaya menyumbangkan kejayaan yang sangat memberangsangkan.
"Setiap agensi dan NGO yang terlibat perlu menonjolkan penguatkuasaan yang efektif. Setiap tangkapan yang dihasilkan perlu disiarkan melalui media bagi memastikan masyarakat sedar tentang kesalahan memburu hidupan liar,” katanya.
Terdahulu, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul, selaku tuan rumah pada tahun ini menyeru agar kerjasama di antara agensi penguatkuasaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperkukuhkan dalam memastikan misi, visi dan objektif OBK dapat dicapai.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN Malaysia, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim pula, kejayaan demi kejayaan telah diperoleh melibatkan semua operasi yang dijalankan dan memberi satu impak serta mesej jelas kepada semua pihak bahawa kerajaan amat tegas dan komited dalam melindungi khazanah negara yang tidak ternilai untuk generasi pada masa akan datang.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Dato’ Haji Johari Alifiah, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Polis Diraja Malaysia CP Dato’ Sri Abdul Rahim Jaafar, Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Dato’ Haji Iskandar Haji Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Jabatan PERHILITAN, Dato’ Fakhrul Hatta Musa, Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Hasanuddin Hassan dan Pengarah Kastam Negeri Kedah, Puan Azizah Kechik, serta wakil-wakil NGO.
Sumber: Jabatan Kastam Diraja Malaysia





