![[POSTING PILIHAN] NAHAS TRAK FRU: DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK BERANGKAT MENZIARAHI MANGSA DI HOSPITAL TELUK INTAN](/assets/images/rmp.webp)
Artikel
[POSTING PILIHAN] NAHAS TRAK FRU: DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK BERANGKAT MENZIARAHI MANGSA DI HOSPITAL TELUK INTAN
Teluk Intan, 17 Mei 2025 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbu...
Teluk Intan, 17 Mei 2025 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat menziarahi mangsa-mangsa nahas jalan raya yang melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5 Ipoh di Hospital Teluk Intan (HTI), pagi tadi.
Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat bersama Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha dan Pengarah HTI, Dr. Mohd Khairul Baharin Baharudin.
Baginda seterusnya berkenan melawat Unit Rawatan Rapi (ICU) yang menempatkan beberapa anggota yang cedera parah iaitu Sarjan Mazlan Mat, Sarjan Mohd Parih Ali, Koperal Haslizal Mohd Ali dan Koperal Mohd Izwan Hj. Ishak selain turut menziarahi Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli yang sedang menerima rawatan di Bilik A1.
Dalam pertemuan bersama waris-waris mangsa, baginda menzahirkan rasa dukacita dan simpati atas tragedi berlaku yang meragut sembilan nyawa anggota ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menyempurnakan tugas kawalan keselamatan di Teluk Intan.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris-waris sebagai tanda keprihatinan dan berharap agar mereka tabah menghadapi dugaan tersebut.
Turut hadir menyambut keberangkatan baginda tadi ialah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (Bersara), Dato’ Seri Diraja Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Hj. Zainuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Ahli Dewan Negara Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar Zaini, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Dr. Bakri Hj. Zainal Abidin dan para pegawai kanan Kontinjen Perak serta PSP Unit 5.