
Article
Posting Pilihan Misi Everest Pendaki Keluarga Malaysia Mampu Eratkan Hubungan Diplomasi
Sumber: Saifuddin Abdullah dan BERNAMA
Putrajaya, 23 Mac 2022 - Pasukan pendaki Keluarga Malaysia yang membawa Misi Malaysia Everest 2022, adalah duta yang bukan sahaja bakal mengharumkan nama negara, bahkan merapatkan hubungan diplomasi antara negara, kata Menteri Luar Negara, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata aktiviti pendakian seperti juga sukan lain, yang dianggap sebagai diplomasi awam kerana ia memainkan peranan membawa imej Malaysia.
“Negara sudah ada 19 orang sampai ke puncak Everest, Insya-Allah 10 lagi akan sampai ke sana,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat pasukan pendaki berkenaan di Wisma Putra di sini, hari ini.
Membawa semangat Keluarga Malaysia, 10 pendaki negara termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU), dalam misi menawan Gunung Everest bermula 15 April ini.
Selain Muhammad Hawari Hashim, 31 tahun, yang merupakan OKU pendengaran, pasukan itu turut diwakili bekas pesilat negara Rina Jordana Adnan, 42, serta tiga wakil dari 69 Komando Polis Diraja Malaysia iaitu Inspektor Kanang Anak Usin, 42 tahun, Koperal Pragash Murugesu, 32 tahun, dan Koperal Mohammad Hanif Che Ahmad, 28 tahun.
Sementara itu, Dato’ Sri Saifuddin berkata Kementerian Luar akan memberi sokongan kepada pasukan tersebut dari segi laluan diplomatik serta logistik, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu bagi melancarkan misi pendakian itu.