Polis Tumpaskan Sindiket Warga Afrika Tipu Pemilik Akaun Ban
Polis Tumpaskan Sindiket Warga Afrika Tipu Pemilik Akaun Bank
Kuala
Lumpur, 12 April - Taktik sekumpulan warga Afrika yang disyaki mencuri
maklumat perbankan menerusi Internet dan memperdaya pemilik akaun bank,
terbongkar dengan tertangkapnya lima lelaki serta seorang wanita
tempatan yang dipercayai dijadikan keldai siber, Rabu lepas.
Dalam serbuan pertama oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, polis menahan seorang wanita berusia 20-an di sebuah bank di Petaling Jaya.
Timbalan
Pengarah 2 JSJK (Risikan/Operasi) Datuk Rodwan Mohd Yusuf berkata
penahanan wanita itu yang dipercayai digunakan sindiket warga Afrika
berkenaan untuk menyalurkan wang yang dipindahkan daripada akaun mangsa,
membawa polis kepada sindiket tersebut yang beroperasi di dua rumah
teres, di Taman Putra Perdana dan Bandar Bukit Puchong, Puchong, dekat
sini.
"Kelima-lima
lelaki ini yang berusia 25 hingga 35 tahun, memasuki Malaysia sebagai
pelajar dan menuntut di institusi pengajian tinggi swasta di Kuala
Lumpur dan Melaka," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau
berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas enam unit komputer
riba, 10 unit telefon bimbit, surat tawaran belajar dan beberapa peranti
jalur lebar yang dipercayai digunakan anggota sindiket itu untuk
menjalankan kegiatan penipuan terbabit.
Katanya
taktik sindiket warga Afrika itu terbongkar selepas polis menerima
laporan daripada seorang mangsa, seorang wanita, yang mendakwa ditipu
sebanyak RM5,000 selepas memasukkan data peribadi setelah menerima
e-mel, kononnya dari pihak bank untuk mengemas kini maklumat.
Rodwan
berkata wanita itu yang mensyaki ditipu, membuat laporan polis selepas
menerima panggilan dari bank bahawa berlaku transaksi akaun miliknya
kepada akaun pihak ketiga.
"Hasil
siasatan kita mendapati sindiket ini dipercayai pernah menjalankan
kegiatan yang sama ke atas seorang mangsa di Batu Gajah dua tahun lepas,
yang dipercayai ditipu sebanyak RM6,000," katanya.
Beliau berkata lima lelaki serta wanita berkenaan kini ditahan reman mulai semalam hingga 14 April bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer. - BERNAMA