Polis Tumpaskan Sindiket Wang Palsu Tahan Lelaki Warga Iran
Shah
Alam, 24 April - Polis Selangor menahan seorang warga Iran yang
dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan "black money" terbesar di
negara ini serta merampas wang palsu yang dianggarkan bernilai RM30
juta.
Ketua
Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata suspek berumur 54
tahun ditangkap pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dalam satu serbuan di sebuah
kondominium di Jalan Ipoh, Sentul, Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang
semalam.
Katanya,
suspek yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial ditahan
setelah polis menerima maklumat daripada seorang pegawai bank wanita
tempatan berusia 51 tahun yang menjadi mangsa penipuan sindiket
berkenaan selepas melabur RM400,000.
"Sindiket
ini memperdayakan mangsa dengan menggandakan wang yang dilabur mangsa
melalui satu projek 'mencuci wang kertas dolar Amerika dan Pound
Sterling'.
"Siasatan
awal mendapati beberapa keping wang Amerika dan Pound Sterling itu
dihitamkan dengan bahan tertentu dan selepas dicucikan dengan bahan
kimia itu, keaslian wang itu seolah-olah terserlah ," katanya dalam satu
sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Mohd
Shukri berkata kejadian bermula apabila pengadu yang berkenalan dengan
seorang lelaki warga Sweden menerusi laman Facebook diminta melabur
68,000 pound sterling sebelum mangsa diperkenalkan kepada seorang lagi
lelaki warga Papua New Guinea di sebuah hotel di Mutiara Damansara.
Katanya
semasa perjumpaan dengan warga Papua New Guinea itu, mangsa ditawarkan
satu projek ‘mencuci wang kertas dolar Amerika dan Pound Sterling' yang
dikatakan boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda dan mangsa
terus menyerahkan RM400,000 kepada suspek sebelum disedari ditipu dan
terus melaporkannya kepada polis.
Susulan
itu, polis menyerbu sebuah unit kondominium di Jalan Ipoh, Sentul dan
merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan
aktiviti penipuan 'Black Money' seperti 22 beg pakaian, dua mesin
memproses black money dan 13 peti keselamatan, beberapa kepingan wang
kertas dolar Amerika, United Kingdom dan Singapura yang belum disahkan
ketulenannya.
Beliau
berkata polis menahan seorang warga Iran di kondominium itu yang
dipercayai dijadikan pusat sindiket penipuan 'Black Money'.
Sehubungan
itu, polis meminta orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas
sebarang pelaburan yang ingin diceburi sebelum tertipu.
Sumber : BERNAMA