Polis Tumpaskan Sindiket Dadah Yang Punyai Rangkaian Di Asia Tenggara
Nibong Tebal, 12 Okt - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai mempunyai rangkaian di Asia Tenggara selepas menyerbu makmal memproses dadah di Kerian, Perak dan menahan dalang serta lima anggota sindiket itu, Sabtu lepas.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Dato' Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, sindiket berkenaan menjadikan rumah teres dua tingkat di Simpang Lima, Kerian itu sebagai makmal memproses dadah jenis syabu
dan stor menyimpan pelbagai bahan kimia sejak dua tahun lepas.
"Polis menahan seorang lelaki dipercayai dalang sindiket itu di rumah berkenaan dan merampas 15.115 kilogram disyaki cecair syabu dan pelbagai jenis bahan kimia untuk memproses dadah yang kesemuanya bernilai RM3.4 juta serta wang tunai RM1,670," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan serbuan itu, polis menyerbu lima lagi rumah iaitu dua di Kerian dan tiga di Seberang Perai Selatan (SPS) di sini, serta menahan lima lelaki.
Operasi dari pukul 1.35 pagi hingga 6 pagi di sekitar daerah SPS dan Kerian oleh anggota JSJN Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) itu adalah hasil maklumat awam dan risikan sejak sebulan lepas.
Katanya, polis turut menyita kereta jenis Mitsubishi Lancer
bernilai RM50,000.
"Siasatan awal mendapati sindiket itu mengedar dadah yang dihasilkan di Semenanjung Malaysia dan turut mempunyai rangkaian dengan beberapa sindiket antarabangsa di Asia Tenggara," katanya.
Beliau berkata, enam lelaki berusia 17 hingga 47 tahun yang ditahan itu termasuk dua yang mempunyai rekod jenayah lampau, kini direman sehingga 17 Okt bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Mohd Dzuraidi berkata seramai 142,600 orang yang terbabit dengan kes dadah ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai RM214.43 juta dirampas di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 8 Okt lepas.
Beliau berkata dalam tempoh sama, polis menyita harta milik pengedar dadah berjumlah RM57.06 juta dan melucutkan harta bernilai RM6.7 juta.
- BERNAMA